Selasa, 29 Ogos 2017 | 7:29am
MODEL skuter paling canggih di pasaran.

Yamaha NVX155 hebat

KETIKA Yamaha NVX155 dilancarkan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) pada pertengahan Julai lalu, ramai peminat motosikal yang kecewa kerana harganya melebihi RM10,500 (termasuk GST) seunit. Ini kerana sebahagian besarnya menjangka harganya sekitar RM9,000 sama seperti model skuter sebelumnya iaitu Nmax yang mana menggunakan enjin berkapasiti sama.

BH Auto berpeluang menunggang uji NVX155 baru-baru ini dan setelah menjiwai model ini selama lima hari, dapat dirasakan harga yang ditawarkan itu agak 'kena' dengan komponen, teknologi serta corak tunggangan responsif pada skuter ini.

Paling menarik perhatian penulis adalah dari segi penampilan, NVX155 menawarkan reka bentuk agresif dan sporty. Selain itu, meskipun halaju maksimumnya adalah sekitar 120 kilometer sejam (km/j), teknologi VVA (Variable Valve Actuation) yang dilengkapi pada model ini, membolehkan pecutan ke paras maksimum dapat dibuat dengan pantas. Sementara itu, teknologi Blue Core pula mengoptimumkan penggunaan petrol.

NVX155 memang bertenaga dengan kuasa maksimum 14.8 hp pada putaran 8,000 rpm dan tork puncaknya 14.4 Nm pada putaran 6.000 rpm. Lebih mengujakan, ia amat stabil ketika mengambil selekoh walaupun pada kelajuan tinggi, tidak seperti sebahagian besar model skuter lain yang mana bahagian belakangnya akan bergoyang atau mengempar.

Tidak hanya itu, Yamaha juga melengkapi NVX155 dengan pelbagai fitur canggih yang tidak dimiliki skuter sekelasnya. Konsep mewah pada skuter ini jelas pada speedometer digital yang memanfaatkan layar LCD berukuran 5.8 inci. Ia menyajikan maklumat lengkap dan mudah dibaca penunggang. Rata-rata skuter lain masih menggunakan speedometer analog.

Selain itu, menarik ada pada NVX 155 adalah sistem kunci pintar yang membolehkan enjin dihidupkan tanpa perlu memasukkan kunci pada motosikal. Enjinnya juga mempunyai sistem Start/Stop automatik.

Turut tersedia ialah saiz roda lebih besar iaitu berukuran 14 inci dengan kuasa berhenti dikawal sistem brek anti-kunci (ABS) pada roda depannya.

NVX155 dilengkapi ruang penyimpanan berkapasiti 25 liter yang berada di bawah tempat duduk dan tangki pertrol 4.5 Liter.

Kesimpulannya, jika anda peminat motosikal yang mencari skuter dengan reka bentuk sporty dan amat bertenaga, NVX155 adalah antara model yang wajar dipertimbangkan. Ia sesuai ditunggang secara agresif, mahupun santai dengan fitur lebih lengkap dan canggih berbanding barisan model sama sebelumnya.

Spesifikasi

Enjin: SOHC 4-lejang, penyejukan cecair, silinder tunggal

Nisbah Mampatan: 10.5: 1

Sesaran: 155 cc

Kuasa maksimum: 11 kW (15 PS) @ 8000 rpm

Tork maksimum: 13.8 Nm @ 6250 rpm

Sistem penghidup: Elektrik

Sistem minyak: Pancitan bahan api

Jenis transmisi: V-belt automatik

P x L x T: 1,990mm X 700mm X 1, 125mm

Jarak roda: 1, 350mm

Berat: 118kg

Saiz tangki: 4.6L

Jenis rangka: Underbone

Suspensi depan: Fork after/ spring/ peredam hidraulik

Suspensi belakang: Spring penyerap hentak/peredam hidraulik

Tayar depan: 110/80-14M/C 53P

Tayar belakang: 140/70-14M/C 62P

Brek depan: Cakera, 230mm

Brek belakang: Brek dram 130m

2174 dibaca
Berita Harian X