Rabu, 30 Ogos 2017 | 9:47am

7 varian baharu pelbagai jenama


CHEVROLET Colorado tawar tiga varian baharu. - Foto Eizairi Shamsudin

NAZA World Group of Companies meneruskan komitmen jitu untuk kekal bersaing dalam pasaran automotif negara apabila memperkenalkan sehingga tujuh varian baharu pelbagai jenama kenderaan di bawah edarannya bersempena Pameran Auto Merdeka Naza 2017.

Bermula dengan pengedar eksklusif Chevrolet di Malaysia, Naza Quest Sdn Bhd, ia menampilkan tiga varian baharu trak pikap Chevrolet Colorado susulan kejayaan pelancaran trak pikap itu ke pasaran tempatan pada Oktober tahun lalu.

Next Bike Sdn Bhd yang juga pengimport dan pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia pula memperkenalkan dua varian baharu iaitu Ducati Monster 707 dan Ducati Multistrada 950 bagi melengkapi barisan sedia adanya yang ditawarkan ketika ini.


Vespa 125S. - Foto Eizairi Shamsudin

Varian Piaggio baharu

Naza Premira Sdn Bhd pula tidak ketinggalan untuk melancarkan Piaggio Medley S 150 ABS, yang juga skuter reka bentuk moden dilengkapi pelbagai peralatan keselamatan berteknologi tinggi, selain menampilkan model popular Vespa S125 kini didatangkan dengan enjin i-Get.

Naib Presiden dan Ketua Syarikat Naza Quest, Mohd Farid Rosli, berkata syarikat mengambil peluang daripada penganjuran Pameran Auto Merdeka Naza 2017 untuk memperkenalkan tiga varian baharu trak pikap yang popular di Malaysia, Chevrolet Colorado iaitu Colorado X, Colorado X Urban dan Colorado X-ADV.

Katanya, pelancaran tiga varian baharu akan menjadi sandaran utama kepada syarikat untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan untuk tahun ini iaitu sekitar 500 unit.

"Chevrolet Colorado yang dilancarkan pada tahun lalu adalah kenderaan Chevrolet paling popular di negara ini apabila merangkumi sehingga 80 peratus jualan keseluruhan Naza Quest. Malah, model ini juga amat popular di pasaran Sabah dan Sarawak.

"Berikutan itu, pengenalan tiga lagi varian Chevrolet Colorado pada Pameran Auto Merdeka Naza 2017 akan membantu kami mencapai sasaran jualan keseluruhan untuk tahun ini.

"Setakat ini, angka jualan keseluruhan kami sudah mencecah kira-kira 300 unit dan tiga varian baharu ini disasarkan dapat dijual kira-kira 200 unit sebelum akhir tahun ini," katanya selepas pelancaran Pameran Auto Merdeka Naza 2017 di Petaling Jaya, baru-baru ini.


Ducati Multistrada 950. - Foto Eizairi Shamsudin


Ducati Monster 707. - Foto Eizairi Shamsudin

Tampil 2,000 kenderaan

Sempena Pameran Auto Merdeka Naza 2017, Naza World menampilkan sehingga 2,000 kenderaan di bawah satu bumbung dengan tawaran menakjubkan pada harga terendah dengan kadar faedah yang menarik.

Pada masa sama, syarikat juga meraikan sambutan ulang tahun ke-42 Naza World selain sambutan kemerdekaan ke-60 negara ini.

Menerusi pameran itu, pengunjung yang membeli mana-mana kenderaan semasa pameran itu secara automatik mengambil bahagian di dalam peraduan 'Belanja dan Menang', yang menawarkan hadiah utama trak pikap Chevrolet Colorado.

Info
Harga jualan kenderaan baharu Naza World

  • Chevrolet Colorado X : RM113,248.28
  • Chevrolet Colorado X-Urban : RM131,798.28
  • Chevrolet Colorado X-ADV : RM145,478
  • Ducati Monster 707 : RM55,900
  • Ducati Multistrada 950 : RM85,900
  • Piaggio Medley S 150 ABS : RM18,996.95
  • Vespa S125 i-Get : RM13,097.40
416 dibaca
Berita Harian X