Selasa, 5 September 2017 | 1:37pm
DUCATI adalah syarikat milik penuh Audi, yang mana di bawah kumpulan VW. - Foto fail NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Penjualan Ducati ditangguhkan

LONDON/MILAN/BERLIN: Pembuat kereta Jerman, Volkswagen (VW) menangguhkan penjualan Ducati, bernilai AS$1.8 bilion (RM7.68 bilion). berikutan pertelingkahan dalaman berhubung langkah itu.

Ducati adalah syarikat milik penuh Audi, yang mana di bawah kumpulan VW.

Audi ketika ini kurang bersetuju dengan strategi syarikat induknya, malah keputusan mengenai penjualan Ducati yang berusia 91 tahun berpangkalan di Borgo Panigale, Bologna, Itali, itu juga perlu diluluskan oleh lembaga penyeliaan VW.

Pemimpin pekerja di VW, yang menduduki separuh daripada 20 keanggotaan lembaga, menentang penjualan itu.

VM sudah memaklumkan kepada lima pembida untuk berhenti seketika daripada membuat bidaan untuk Ducati.

April lalu, Ducati diumumkan akan dijual bagi membantu meningkatkan aliran wang tunai untuk membantu pelan strategik berikutan skandal pelepasan asap membabitkan pembuat kereta terbesar Eropah itu,.

Ada pembida yang bersedia membayar kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.68 bilion) untuk Ducati.

VW, Audi dan wakil kesatuan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penangguhan itu.

Keluarga Benetton di Itali, firma automotif AS, Polaris Industries dan bekas pemilik Ducati Investindustrial menunggu sehingga peringkat terakhir lelongan pada Julai, bersama dana ekuiti swasta Bain Capital dan PAI Partners.

Tawaran itu menilai perniagaan berkenaan pada 1.3 bilion euro (RM6.61 bilion) hingga 1.5 bilion euro (RM7.62 bilion), mewakili 13 kali pendapatan teras Ducati sekitar 100 juta euro (RM508 juta).

Lelongan itu dijangka akan berakhir lewat tahun ini dengan tawaran akan dikumpul pada Oktober, kata sumber.

"Pada peringkat ini, sangat tidak mungkin rundingan akan diteruskan tahun ini.

"Masih ada pertelingkahan antara VW dan Audi yang perlu diselesaikan. Kesatuan sekerja juga tidak menyokong penjualan ini," katanya. - REUTERS

1120 dibaca
Berita Harian X