Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:05pm

BMW akan keluar Mini elektrik di China

SHANGHAI/BEIJING: Pengeluar kereta mewah BMW meninjau menjalin usaha sama dengan Great Wall Motor di China, yang akan menumpu kepada pengeluaran kenderaan elektrik, demikian menurut dua sumber hampir dengan usaha niaga itu.

Usaha sama dengan Great Wall bakal menjadi usaha sma kedua BMW dalam pasaran automotif terbesar dunia itu, yang mana syarikat asing diharuskan menjalin usaha sama dengan rakan kongsi tempatan.

"Kami sedang berunding dengan Great Wall berhubung menubuhkan usaha sama bagi mengeluarkan kereta di Changshu," kata eksekutif BMW yang enggan identiti beliau didedahkan.

Satu lagi sumber berkata, usaha sama di Changshu itu akan memberi tumpuan khusus kepada kenderaan elektrik.

Jualan BMW di China berkembang 11.3 peratus tahun lalu.

Ia adalah jenama premium kedua terbesar China selepas Audi AG.

BMW berusaha untuk kekal di hadapan Mercedes-Benz yang berada di tangga ketiga, mencatat 26.6 peratus pertumbuhan jualan di China pada 2016 dengan penawaran barisan model baharu.

Tesla, Ford Motor Co, Daimler AG, dan General Motors adalah antara syarikat automotif yang sudah mengumumkan rancangan mengeluarkan kenderaan elektrik di China.

"Sekiranya persetujuan dicapai, kita boleh jangka pengaturan seperti Denza (Mercedes-BYD), atau VW-JAC, Ford-Zotye, yang mana jenama baharu digunakan bagi menjual kenderaan elektrik," kata firma analisis automotif Bernstein dalam satu nota.

Ia berkata, kenderaan itu berkemungkinan dijual di bawah jenama Mini. - Reuters

160 dibaca
Berita Harian X