Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:05pm
MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia secara rasmi memperkenalkan Mitsubishi Outlander SUV 2.0L pemasangan tempatan (CKD).

Mitsubishi Outlander SUV 2.0L sedia ditempah

KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia secara rasmi memperkenalkan Mitsubishi Outlander SUV 2.0L pemasangan tempatan (CKD), hari ini.

Susulan itu, pengedar sah MMM akan turut menganjurkan acara eksklusif di bilik pamerannya pada 14 dan 15 Oktober ini bagi cawangan di Semenanjung, manakala 21 dan 22 Oktober di Sabah dan Sarawak.

MMM menerusi kenyataannya berkata, bersempena acara eksklusif itu, tiga pelanggan bertuah yang memandu uji Mitsubishi Outlander berpeluang memenangi iPhone 8.

"Selain itu, 200 pelanggan pertama yang menempah dan mendaftarkan model berkenaan juga berhak mendapatkan baucer minyak bernilai RM300," katanya.

Model berkenaan menjadi model CKD kedua untuk MMM selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) ASX, yang juga menjalani proses pemasangan di Tan Chong Motor Assemblies di Segambut, Kuala Lumpur.

Outlander 2.0L 4WD memiliki senarai elemen keselamatan asas yang agak lengkap iaitu tujuh beg udara, ABD dan EBD, Bantuan Brek, Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan cagak ISOFIX.

Sesuai dengan perkembangan semasa dengan elemen teknologi baharu, model itu juga mempunyai fungsi Rest Reminder yang mengingatkan pemandu untuk rehat sekiranya keletihan.

Outlander diperkenalkan di Malaysia pada April 2016 sebagai versi import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Varian baharu Outlander 2.0L 4WD itu akan dijual seiringan dengan model 2.4L 4WD CBU, bagi memperluaskan lagi rangkaian SUV Mitsubishi.

Harga pengenalan untuk Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD ialah RM139,988 dan ia hanya untuk tempoh terhad hingga akhir tahun ini.

Outlander dilengkapi dengan jaminan kilang standard MMM selama lima tahun dan perbatuan yang tidak terhad.

329 dibaca
Berita Harian X