Ahad, 12 November 2017 | 7:00am
KONVOI GIVI ke MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang.
PESERTA konvoi Yamaha.

Konvoi MotoGP meriah

ACARA perlumbaan motosikal utama negara, MotoGP melabuh tirainya hujung bulan lalu dengan meninggalkan kenangan 'mengusik kalbu' bagi peminat di negara ini.

  Apa tidaknya. Bukan hanya peminat individu membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC), malah pengeluar jenama terkemuka seperti  Yamaha dan Kawasaki turut membawa 'askar' masing-masing ke acara penuh berprestij itu.

  Pengeluar kotak simpanan motosikal utama,  GIVI Asia juga turut berkonvoi bersama pemilik Monolock B32 Bold bagi menonton perlumbaan MotoGP.


ANTARA peserta yang menyertai Konvoi Yamaha ke MotoGP.

1,150 sertai konvoi Yamaha

  Hong Leong Yahama Motor Sdn Bhd (HLYM) lebih 'gempak' apabila membawakan 1,150 peserta ke acara MotoGP, lebih ramai berbanding kira-kira 800 ke acara sama tahun lalu.

  Peserta konvoi dari pelbagai negeri dan model motosikal berkumpul seawal jam jam 6.30 pagi di TSI Sports Arena, Cyberjaya. sebelum acara pelepasan kumpulan berkenaan disempurnakan Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor.

   Acara yang dianjurkan HLYM setiap kali perlumbaan MotoGP sejak dua dekad lalu itu memberi peluang kepada pemilik motosikal Yamaha merasai 'nikmat' acara perlumbaan terkemuka itu.


KONVOI Kawasaki diwakili 386 peserta.

Kawasaki bawa 386 peserta

  Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd memeriahkan acara dengan membawa 386 peserta membabitkan 350 motosikal pelbagai model jenama itu ke MotoGP.

  Konvoi yang disertai peserta dari seluruh negara bermula dari Padang Merbok, Kuala Lumpur ke SIC membabitkan jarak 62 kilometer (km).

  Acara tahunan Kawasaki itu bukan hanya untuk mewarnai kalendar MotoGP yang singgah ke Malaysia, malah untuk memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara pemilik jenama itu.

Acara tradisi GIVI

 Hampir 200 pemilik kotak simpanan motosikal Monolock B32 Bold menyertai konvoi GIVI bermula dari Menara Kuala Lumpur ke litar kebanggaan rakyat Malaysia di Sepang.

   Acara tradisi itu tampil dengan sedikit kelainan kerana hanya pemilik kotak simpanan berkenaan layak menyertai konvoi berkenaan.

  Lebih menarik, GIVI Asia turut menyampaikan barangan eksklusif iaitu jersi GIVI (edisi terhad), beg pinggang GIVI, pelindung topi keledar GIVI, topi GIVI, tiket tempat duduk Grandstand, parkir motosikal @ SIC, minyak enjin jenama Castrol, sarapan dan minuman tenaga Monster.

  Konvoi sejauh 60km itu adalah acara tahunan bagi syarikat dan ia sudah memasuki tahun ke-10 penganjurannya.


PESERTA GIVI.

Info:
Konvoi ke MotoGP 

  • Yamaha - 1,150 peserta
  • Kawasaki - 386 peserta
  • GIVI Asia - hampir 200 peserta
135 dibaca
Berita Harian X