Isnin, 13 November 2017 | 7:00am
SM Faisal (kiri) bersama Marco Biondi (tengah) dan penunggang Ducati, Andrea Dovizioso ketika Tayangan Perdana Ducati 2018, baru-baru ini.

5 model taruhan Ducati

SEMPENA Tayangan Perdana Ducati 2018 baru-baru ini, Ducati memperkenalkan sekurang-kurangnya lima model keluaran 2018 termasuk Ducati Panigale V4.

   Pengarah Ducati Serantau Asia, Marco Biondi, berkata dengan perkenalan kepada semua model baharu itu, Ducati meramal pertumbuhan yang besar pada 2018 dan syarikat permotoran itu akan terus meningkatkan komitmen bersama Next Bike Sdn Bhd dalam penjenamaan Ducati di negara ini.

Kerjasama 17 tahun

   "Kita berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Naza World Group of Companies melalui anak syarikatnya, Next Bike Sdn Bhd untuk masa akan datang.

   "Kerjasama yang terjalin selama 17 tahun lalu membuahkan hasil dan kita menjangka tahun yang baik pada 2018 dengan keluaran model tahun itu," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

   Menurut kenyataan itu, Next Bike Sdn Bhd, pengedar sah jenama Ducati komited untuk terus mengetengahkan produk itu secara menyeluruh di pasaran tempatan.

   Katanya, pendekatan diambil termasuk meletakkan syarikat itu bukan hanya sekadar syarikat motosikal, tetapi juga menyediakan perkhidmatan dan pemberian barangan berkaitan Ducati kepada pelanggan.

Tingkatkan jenama Ducati di Malaysia

   Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin, berkata pihaknya sebelum ini sudah menganjurkan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan jenama Ducati dan ia termasuk usaha meluaskan rangkaian perniagaan.

   "Selama hampir 17 tahun, kita berbesar hati dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia bukan saja membeli motosikal Ducati, tetapi juga memiliki gaya hidup seiring dengan jenama premium ini.

   "Ducati Malaysia kini diterajui oleh Fazli Hisham Shukor yang mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan motosikal. Saya yakin kejayaan ini akan berlanjutan sepanjang 2018 dan seterusnya," katanya.

   Ducati Malaysia kini memberi tumpuan terhadap peluasan rangkaian perniagaan dan panduan kepada operasi penjualan bagi memastikan keuntungan, selain meningkatkan tahap kepuasan pelanggan menerusi pelancaran beberapa kemudahan Ducati dan rancangan aktiviti. 

   Ducati Malaysia turut merancang untuk mengurangkan kos pemilikan di samping mengekalkan kualiti premium jenama itu, termasuk tahap perkhidmatan selepas jualan.

Info
Tayangan Perdana Ducati 2018

  • Diadakan pada 5 November 2017
  • Ducati pamer sekurang-kurangnya lima model keluaran 2018
226 dibaca
Berita Harian X