Selasa, 14 November 2017 | 7:00am
AMG GT R tawar pemanduan dinamik, luar biasa. - Foto Aizuddin Saad

AMG GT R setaraf kereta lumba

PRESTASI setaraf kereta lumba dan mempunyai kebanyakan ciri daripada model AMG GT3. Itu antara keistimewaan model serba baharu Mercedes-Benz AMG GT R yang dilancarkan di pasaran tempatan, baru-baru ini.

   Dihasilkan dengan pemanduan dinamik yang luar biasa dan kelajuan menakjubkan, AMG GT R sememangnya mempunyai DNA perlumbaan AMG, prestasi pemanduan yang memacu keluaran jenama Mercedes-Benz. 

   Selain reka bentuk yang bergaya serta diilhamkan komponen daripada 'motorsport', pemasangan gril AMG Panamericana seperti yang terdapat pada model kereta lumba terbaharu AMG GT3 sememangnya menjadi tumpuan utama.

Dibina untuk pemanduan atas litar

   Disertakan kuasa enjin 4.0 liter V8 Twin-Turbo dan padanan transmisi dual-clutch AMG Speedshift DCT tujuh kelajuan, ia mampu menghasilkan kuasa 585 (hp) dan tork maksimum 700Nm antara 1,900 dan 5,500 rpm.

   Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 318 kilometer sejam (km/j) dengan pecutan 0-100 km/j dalam catatan masa 3.6 saat.

   Pemasangan transmisi dual clutch tujuh kelajuan turut diperbaharui dari segi perisian dan perkakasan membuatkan kenderaan itu lebih sesuai dipandu di litar perlumbaan.


AMG GT R disertakan kuasa enjin 4.0 liter V8 Twin-Turbo. - Foto Aizuddin Saad

Boleh ubah tahap cengkaman

   Dari segi pemanduan, AMG GT R didatangkan dengan input stereng yang lebih sensitif, hasil daripada pemasangan standard aktif stereng roda belakang, yang buat kali pertama digunakan pada model AMG.

   Disertakan dengan pemasangan standard tiga pilihan ESP iaitu 'ESP ON', 'ESP SPORT Handling Mode', dan 'ESP OFF' serta sistem AMG Traction Control, pemandu juga boleh mengubah tahap cengkaman kenderaan itu, sekali gus sesuai memberi kawalan yang lebih mantap.

   Ia juga dilengkapi dengan kit aerodinamik aktif pada bahagian depan yang menghasilkan kesan venturi. Ketika memecut melebihi 80km/j dalam mod perlumbaan, ia akan menekan badan kereta berkenaan sehingga 1.6 inci membuatkan ia melekat pada permukaan jalan raya.

Suspensi khas AMG

   Selain itu, suspensi AMG baharu direka khas untuk AMG GT R dan ia digabungkan dengan kawalan pemanduan AMG. Sistem itu dikawal secara elektronik dan mengadaptasi keadaan tayar mengikut situasi pemanduan, kelajuan dan keadaan permukaan jalan.

   Seperti varian baharu keluaran Mercedes-Benz yang lain, pemandu turut boleh mengubah mod gaya pemanduan menerusi kawalan AMG Dynamic Select yang menawarkan mod C (Comfort), S (Sport) bagi pemanduan santai, manakala mod S+ (Sport Plus), I (Individual) dan mod Perlumbaan untuk pemanduan lebih agresif.

  Ia juga dilengkapi dengan sistem brek komposit prestasi tinggi untuk memastikan nyah pecutan terbaik menerusi pemasangan brek cakera berdiameter 390 milimeter (mm) pada bahagian gandar depan dan 360 mm pada gandar belakang.


TIMBALAN Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes Benz Malaysia, Mark Raine (kanan) bersama Ketua Pengajar Memandu MercedesBenz AMG, Peter Hackett melancarkan kereta Mercedes AMG GT-R di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang. - Foto Aizuddin Saad

INFO
AMG GT R

  • Enjin: 4.0 liter V8 Twin Turbo
  • Output: 430 kW (585hp) pada 6250 rpm
  • Tork maksimum 700Nm pada 1,900-5,000 rpm
  • Pemanduan roda belakang
  • Transmisi: Dual Clutch AMG Speedshift DCT 7 - kelajuan
  • Pecutan 0-100km/j: 3.6 saat
  • Kelajuan maksimum: 318 km/j
  • Harga (termasuk GST) tanpa insurans: RM1.7 juta
175 dibaca
Berita Harian X