Khamis, 7 Disember 2017 | 1:14pm
Subaru XV semua baru dilancarkan di Aiman Motor Performance (AMP) di Glenmarie. - Foto Owee Ah Chun

Subaru sasar jual 6,000 unit tahun depan

SHAH ALAM: TC Subaru Sdn Bhd (TC Subaru), pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia menyasarkan jualan 6,000 unit, tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya, Reza Mutalib, berkata sasaran lebih tinggi berbanding 4,600 unit tahun ini bakal dipacu model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya, Subaru XV.

"Berdasarkan penerimaan pelanggan di negara ini terhadap jenama Subaru, kami meningkatkan sasaran jualan tahun depan dan percaya ia mampu dicapai.

"Kami juga akan memperkenalkan model dipertingkatkan Subaru Outback tahun depan yang mana ia akan menyokong jualan TC Subaru di Malaysia," katanya kepada media selepas pelancaran pusat 4S Aiman Motor Performance Sdn Bhd (AMP), di sini, hari ini.


Pengerusi Aiman Motor Performance Sdn Bhd, Datuk Che Azizuddin Che Ismail (dua kanan) bersama dari kiri, Pengarah Eksekutif Tan Chong, Subaru, Reza Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif ARCA Corporation Sdn bhd, Amirah Che Azizuddin dan Pengarah Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Ir Mohamad b Dalib melancarkan Subaru XV semua baru dan Pusat 4s Aiman Motor Performance (AMP) di Glenmarie. - Foto Owee Ah Chun

Yang turut hadir, Pengerusi AMP, Datuk Che Azizuddin Che Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif ARCA Corporation Sdn Bhd, Amirah Che Azizuddin dan Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Mohamad Dalib.

Bagi meningkatkan akses pelanggan kepada jenama Subaru, Reza berkata, TC Subaru bersama rakan niaga akan membuka lapan lagi pusat 4S (jualan, servis, alat ganti dan cat) di seluruh negara.

"Ketika ini, Subaru memiliki 37 pusat 4S di seluruh negara dan ia akan meningkat kepada 45 tahun depan," katanya.

Sementara itu, AMP, pengedar sah jenama Subaru membuka pusat 4S pertamanya di Malaysia membabitkan pelaburan RM4.5 juta.


Pengerusi Aiman Motor Performance Sdn Bhd, Datuk Che Azizuddin Che Ismail ketika sidang media pada pelancaran Subaru XV semua baru dan Pusat 4s Aiman Motor Performance (AMP) di Glenmarie. - Foto Owee Ah Chun

Azizuddin berkata, pusat penyelesaian perkhidmatan selepas jualan bawah satu bumbung berkeluasan 43,560 kaki persegi itu menyediakan bilik pameran, servis, alat ganti dan cat untuk semua jenama kereta.

Katanya, dengan 24 ruang servis dan operasi bermula jam 8 pagi hingga jam 11 malam, ia mampu memenuhi keperluan pelanggan automotif.

Menyentuh mengenai Subaru, Amirah berkata, AMP menjual sekitar 40 unit Subaru sebulan.

"Dengan pengenalan Subaru XV baharu, kami menjangkakan jumlah jualan akan melonjak kepada sekitar 70 unit sebulan," katanya.

419 dibaca
Berita Harian X