Ahad, 7 Januari 2018 | 3:07pm

Jualan runcit tahunan PROTON meningkat

SUBANG JAYA: PROTON Holdings Bhd mencatatkan jualan di peringkat runcit 68,184 unit pada tahun lalu, meningkat 2.5 peratus berbanding 66,513 unit pada 2016.

Pertumbuhan yang baik dilihat dari kawasan Pusat, Selatan, Pantai Timur dan Malaysia Timur, yang mana masing-masing mencatatkan peningkatan antara satu peratus hingga 10 peratus unit yang dijual.

Bagaimanapun, jualan keseluruhan mencatatkan sedikit penurunan kepada 70,991 unit pada 2017, berbanding 72,291 unit tahun sebelumnya.

Jumlah keseluruhan terjejas oleh jualan berkumpulan yang kurang memberangsangkan dengan 2,807 unit tahun lalu, berikutan permintaan teksi yang rendah.

Saga, Persona dan Ertiga mewakili 80 peratus daripada jumlah jualan kereta PROTON tahun lalu.

Kereta terlaris PROTON, Saga mencatatkan jualan yang kukuh melebihi 30,000 unit pada 2017. Sebagai sedan yang paling mampu milik, Saga masih dilihat sebagai kereta yang memberikan nilai hebat bagi segmennya dan mengekalkan popularitinya di kalangan pembeli pertama atau pembeli kereta kedua PROTON.

Namun, Persona mencatatkan kenaikan sebanyak 27 peratus dengan 19,510 unit dijual berbanding 15,390 unit tahun lalu.

Ertiga turut mendapat penerimaan yang baik di pasaran dengan jualan sebanyak 6,091 unit pada 2017.

Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Abdul Rashid Musa, berkata antara sebab yang menjadikan jualan kereta PROTON stabil pada 2017 adalah kerana usaha peningkatan kualiti yang agresif yang dilakukan di peringkat dalaman.

"Rakan kongsi kami daripada Geely Auto melakukan pemeriksaan audit kualiti yang ketat pada kereta PROTON dan dalam masa dua bulan, kami dapat meningkatkan markah kualiti sebanyak tiga kali ganda.

"Audit dilakukan diukur menggunakan sistem yang teliti, setanding dengan piawaian antarabangsa kereta Volvo, yang diguna pakai Geely.

"Seperti yang kita ketahui, kereta PROTON terbukti ketahanan dan kebolehannya, ketika melalui pelbagai ujian mencabar sewaktu kami menyertai Perlumbaan Sepang 1,000 kilometer pada November dan menang sebagai juara keseluruhan.

"Kesemua pencapaian ini tidak mungkin berlaku tanpa semangat kerja berpasukan yang gigih di antara pihak pengurusan dan pekerja," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rashid berkata, PROTON melihat 2018 dengan lebih positif dan berharap dapat meningkatkan usaha untuk menjadi lebih baik pada tahun ini.

"Tahun ini adalah tahun kritikal buat PROTON memandangkan kami akan melaksanakan aktiviti sejajar dengan Rancangan Perniagaan 3 hingga 10 tahun baharu, iaitu kunci kepada pemulihan syarikat.

"Demi meningkatkan jumlah jualan, kami akan mengambil langkah yang perlu melalui kempen yang lebih menarik untuk pengguna, dan peningkatan kualiti dari segi produk serta perkhidmatan," katanya.

Bagi promosi Tahun Baharu Cina, PROTON memberi ganjaran kepada pelanggannya melalui diskaun hebat untuk semua model Proton, penjimatan sehingga RM3,500 untuk Saga; RM4,500 (Persona); RM5,000 (Iriz); RM5,500 (Exora) dan RM13,888 (Perdana).

473 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »