Selasa, 9 Januari 2018 | 3:50pm
NAIB Presiden Mobiliti Frost & Sullivan, Vivek Vaidya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Jualan kenderaan diunjur melebihi 600,000 unit

KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan dan perundingan, Frost & Sullivan menjangka jualan kenderaan di Malaysia mencecah kira-kira 601,000 unit tahun ini, meningkat dua peratus berbanding tahun lalu.

Naib Presiden Mobiliti Frost & Sullivan, Vivek Vaidya, berkata unjuran jumlah jualan kenderaan (TIV) yang lebih baik tahun ini disokong jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terus positif.

Katanya, pengukuhan ringgit juga membantu menstabilkan harga tahun ini, yang mana nilai unit tempatan itu akan mengurangkan kos import komponen dan model import sepenuhnya (CBU).

"Jangkaan TIV 2018 lebih baik berbanding 589,209 unit tahun lalu juga dipacu ramalan keyakinan pengguna yang semakin baik sepanjang tahun ini," katanya pada taklimat media di sini, sebentar tadi.

Vivek berkata, pelancaran Perodua Myvi dan beberapa model utama pada separuh kedua tahun lalu serta pelancaran model yang dinanti-nantikan, Toyota CH-R tahun ini juga akan memacu jualan 2018.

"Pembangunan infrastruktur pesat pada 2018 termasuk pembinaan sekolah, hospital, lebuh raya dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) akan meningkatkan permintaan ke atas kenderaan komersial," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) meningkatkan kualiti pinjaman berkemungkinan menyukarkan keluarga berpendapatan rendah, pembeli muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperoleh pembiayaan kenderaan.

"Faktor lain seperti penambahbaikan Dasar Automotif Negara (DAN) dan infrastruktur pengangkutan awam termasuk pertumbuhan perkhidmatan perkongsian kenderaan akan memberi kesan jangka panjang, namun ia berkemungkinan tidak menjejaskan pasaran 2018," katanya.

Mengulas pencapaian 2017, Vivek berkata, permintaan pasaran automotif Malaysia mencatat pertumbuhan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pemulihan ekonomi dan peningkatan keyakinan pengguna menyaksikan permintaan lebih tinggi ke atas kenderaan penumpang.

"Gaji lebih tinggi dicerminkan pemulihan ekonomi menerajui pemulihan sentimen pengguna yang memacu jualan, namun ia dibayangi tekanan inflasi dan pinjaman lebih ketat," katanya.

Tahun lalu, jualan kenderaan penumpang mencecah 526,603 unit daripada keseluruhan TIV iaitu 589,209 unit, meningkat 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, PERODUA menerajui segmen kenderaan penumpang dengan penguasaan 40.1 peratus, diikuti Honda dengan 21.1 peratus.

198 dibaca
Berita Harian X