Rabu, 10 Januari 2018 | 4:36pm
MODEL Picanto serba baharu. - Foto Mahzir Mat Isa

Sasar jual 5,000 unit Picanto

KUALA LUMPUR: Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia) menyasarkan jualan 5,000 unit model Picanto serba baharu untuk pasaran tempatan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George, berkata model Picanto penting untuk jenama itu di negara ini, dengan menyumbang 50 peratus daripada jualan keseluruhan.

"Kami yakin angka penjualan Picanto baharu dapat dicapai kerana ia adalah produk yang sangat baik pada harga yang sangat menarik." katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran model generasi ketiga itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Generasi ketiga itu dikuasakan enjin Kappa 1.2 liter DOHC dan ditawarkan pada harga RM49,888 (atas jalan tanpa insurans).

Picanto pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan dalam satu varian iaitu automatik serta casis daripada Keluli Berketahanan Tinggi Termaju (AHSS) berbanding model sebelumnya.

Ia juga dilengkapi enam beg udara hadapan dan sisi tempat duduk penumpang serta pelbagai ciri terkini seperti skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dengan fungsi Apple CarPLay dan Android Auto.

Faktor harga serta serta kos alat ganti yang berpatutan menjadikan kenderaan ini mampu menarik pembeli muda berusia 25 tahun ke atas, terutama yang tinggal di bandar utama.

Model Picanto mula dilancarkan di negara ini pada 2004 mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Sementara itu, Samson berkata, dalam usaha meluaskan pasaran dan jenama Kia, pihaknya memperuntukkan RM10 juta untuk menambah pusat servis serta menaik taraf kemudahan sedia ada.

297 dibaca
Berita Harian X