Khamis, 11 Januari 2018 | 6:02pm
BMW R nineT Pure ringkas, dinamik. - Foto Supian Ahmad
BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad
BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad

Kejuruteraan Jerman sejati

R nineT Pure amat sesuai untuk sesiapa saja yang meminati motosikal roadster klasik dan mahukan pengalaman menunggang model berkonsep retro sebenar. Ia pasti mengimbau era 1970an dan 80an.

Tidak hanya itu, ia juga mencerminkan semangat asal motosikal keluaran BMW Motorrad iaitu yang amat ringkas dan dinamik suatu ketika dahulu. Sejak tahun 1923, enjin berkembar melintang atau 'boxer' sudah menjadi nadi motosikal keluaran BMW Motorrad, dan tradisi itu dikekalkan.

Pada masa sama, R nineT Pure baharu memberi banyak pilihan untuk mengubah suai motosikal sebagai mana yang dimahukan.

Pada pandangan dari bahagian hadapan, R nineT tampil dengan reka bentuk 'oldskool' - tangki keluli yang meruncing ke dalam, penghadang lumpur hadapan berwarna Catalano Grey, selain daripada perincian lain seperti lampu bulat dengan lingkaran krom serta lambang BMW di dalamnya, justeru memaparkan kesenian kejuruteraan Jerman sejati.

Untuk paparan maklumat, ia menggunakan meter analog bulat untuk kelajuan dan informasi lain dipapar pada skrin LCD.

R nineT Pure memberi ruang kepada pemiliknya untuk menambah kelengkapan dan mengubah suai - mengikut gaya yang dimahukan.


BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad

BH Auto berpeluang menunggang uji R nineT Pure baru-baru ini dan sepanjang tempoh itu, ternyata kami menggemarinya sama ada dari segi kualiti, sebahagian besar aspek tunggangan dan juga penampilannya.

Varian Pure dalam keluarga BMW R nineT adalah yang paling asas dan berharga paling rendah berbanding yang lain. Spesifikasinya juga adalah lebih rendah berbanding model perdana R nineT.

Namun begitu, ia tetap tidak berkompromi dari segi kualiti motosikal kelahiran BMW Motorrad ini. R nineT Pure yang dijual pada harga RM82,900 ini menampilkan perincian berkualiti tinggi seperti yang boleh dilihat pada perehat kaki, serta tapaknya yang dibuat daripada aluminium forged dan lapisan cat akhir anodised.

Tidak perlu perjalanan yang jauh untuk merasai kualiti tunggangannya. Dalam lima kilometer pertama, R nineT berjaya meyakinkan penulis, ia adalah motosikal yang hebat. Posisi tunggangan menegak sememangnya menyeronokkan untuk melungsuri jalan raya dalam dan luar bandar dengan bersahaja.


BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad


BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad

Sebaik sahaja dihidupkan, enjin boxer meletuskan deruman enak. Pada pendapat penulis, setakat ini, R nineT Pure adalah antara model keluaran kilang yang menghasilkan bunyi paling menarik tanpa pengubahsuaian.

Apabila pendikit dipulas, dos getaran tumbukan piston ke sisi dapat dirasai. Amat mengujakan.

Tork tinggi dalam sebahagian besar jajaran pemetaan enjin, kuasa maksimum 110 hp dan garis merah rpm 8,500 rpm, penjanaan kuasa R nineT adalah memuaskan. Kuasanya memadai untuk membuahkan senyuman kepada penunggang.

Secara umumnya, jika ada yang bertanyakan model yang mana wajar diambilkira sekiranya berhasrat membeli motosikal klasik moden, penulis tanpa ragu boleh menjawab - R nineT Pure.


BMW R nineT Pure. - Foto Supian Ahmad

Spesifikasi:

Enjin: silinder berkembar melintang, 1170cc penyejukan udara

Strok: 101mm x 73mm

Injap: DOHC, 4 injap setiap silinder

Transmisi: 6-kelajuan

Pemacuan: Shaft

Suspensi hadapan: 43 mm fork teleskopik

Suspensi belakang: Monoshock boleh laras

Brek hadapan: Brembo berkembar, 4-piston kaliper, ABS

Tayar hadapan: 120/70 ZR 17

Tayar belakang: 180/55 ZR 17

Ketinggian: 80.52 sentimeter

Berat: 219 kilogram (minyak penuh)
Kapasiti tangki: 17 liter

Harga: RM82,900

203 dibaca
Berita Harian X