Rabu, 14 Februari 2018 | 1:07pm
KILANG General Motors Co (GM) di Gunsan, Korea Selatan. - Foto EPA-EFE

GM tutup kilang di Korea Selatan

DETROIT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan keputusan General Motors Co (GM) menutup satu daripada empat kilangnya di Korea Selatan untuk menyelar perjanjian dagangan AS-Korea Selatan.

Trump merujuk kepada pengumuman GM bahawa ia akan menutup kilang automotif di Korea Selatan dan beliau kemudiannya membidas perjanjian dagangan bebas AS-Korea Selatan yang mana kebimbangan pengeluar kenderaan AS adalah antara isu utamanya.

"Kita mempunyai perjanjian dagangan yang amat buruk dengan Korea," kata Trump semasa mesyuarat dengan sekumpulan pembuat undang-undang bagi membincangkan mengenai import besi dan aluminium.

"Kami akan sama ada berunding untuk perjanjian yang lebih adil atau membatalkan perjanjian. Tetapi sebelum ia dilakukan, GM sudah mengambil keputusan untuk pulang ke Detroit. Ia adalah satu kenyataan yang amat penting," katanya.

Bagaimanapun, GM tidak menyatakan bahawa ia merancang untuk menukar pengeluaran kenderaan ke AS dari Korea Selatan sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula operasi di sana.

"Pengumuman itu berkaitan dengan keperluan kami untuk menstruktur semula perniagaan di Korea Selatan.

"Bergantung kepada hasil usaha penstrukturan semula yang mungkin menyebabkan implikasi global yang besar, tetapi sebagaimana yang dinyatakan semalam, kami perlu pembabitan penuh semua pihak yang berkepentingan dalam kadar yang segera," kata pengeluar kenderaan itu dalam satu kenyataan selepas komen Trump.

Rumah Putih tidak memberikan penjelasan sama ada Trump telah diberitahu mengenai pertukaran pengeluaran kenderaan dari Korea Selatan ke Detroit oleh GM.

Pengeluar kenderaan AS itu berkata, ia akan memutuskan masa depan operasi yang masih ada di Korea Selatan dalam tempoh beberapa minggu dan kini sedang dalam rundingan dengan kerajaan Korea Selatan dan persatuan buruh mengenai bagaimana untuk mengurangkan kos dan menjana keuntungan.

"Masa adalah singkat dan semua orang perlu bertindak dengan segera," kata Presiden GM, Dan Ammann kepada Reuters.

Pegawai rasmi Korea Selatan berkata, bantuan kewangan kepada GM Korea akan bergantung kepada kesudian pengeluar kenderaan itu untuk komited dengan pelaburan baharu dalam operasi yang masih kekal. -REUTERS

2102 dibaca
Berita Harian X