Rabu, 11 April 2018 | 5:32pm

Undian pilih nama SUV PROTON dapat sambutan

SUBANG JAYA: Undian atas talian bagi memilih nama kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama PROTON di laman Facebook mendapat maklum balas memberangsangkan dalam tempoh sembilan hari pertama dilancarkan.

Setakat hari ini, kira-kira 69,000 pengguna laman sosial mengambil peluang dalam undian itu.

Selain itu, video yang dikongsikan bersama undian terbabit mendapat lebih 165,000 tontonan dan lebih 1,000 pengguna turut berkongsi maklumat mengenai undian itu melalui laman Facebook mereka, sekali gus turut mendorong kepada peningkatan jumlah undian.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton Holdings Bhd (PROTON), Abdul Rashid Musa, berkata pihaknya tidak menjangkakan jumlah penyertaan seramai itu dalam masa singkat dan amat terharu dengan perhatian yang diberikan terhadap SUV premium pertama yang dihasilkan jenama automotif Malaysia.

"SUV baharu ini adalah titik tolak yang bermakna bagi PROTON dan oleh itu, kami mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia kerana ia simbol pencapaian untuk negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menyertai undian itu, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada pemenang.

Lima pemenang juga akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang diundi.

Mereka bakal menerima pakej hadiah seperti undangan eksklusif VIP pada majlis pelancaran serta turut diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri terkini yang terdapat pada SUV terbabit di litar ujian PROTON di Shah Alam.

Abdul Rashid berkata, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV terbabit dan jika nama yang dicadangkan terpilih maka seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama empat hari tiga malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi dua orang termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

"Oleh kerana tarikh pelancaran rasmi SUV ini semakin dekat, PROTON akan menjalankan lebih banyak aktiviti pengenalan produk untuk membina kesedaran dan keterujaan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Menurutnya, SUV itu akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360 darjah dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif serta brek bantuan kecemasan automatik.

"Produk pertama yang dibangunkan bersama dengan rakan niaga kami, Geely akan menjadi titik permulaan bagi barisan model baharu untuk syarikat, justeru orang ramai boleh untuk menilai sendiri apa yang mereka boleh lihat mengenai masa hadapan PROTON," katanya.

Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV terbabit.

1531 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »