Khamis, 12 April 2018 | 2:03pm

Jualan suku pertama Mercedes-Benz Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) pengedar dan pemasang kenderaan penumpang Mercedes-Benz di negara ini mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 13.2 peratus pada suku pertama 2018 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpangnya, Mark Raine, berkata Januari tahun ini mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 1,200 unit menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak 3,335 unit sehingga Mac.

"Model limosin kami terdiri daripada C, E dan S-Class adalah paling tinggi jualan dengan 1,965 unit diikuti model kompak (596 unit), kenderaan utiliti sukan (SUV) (675 unit) dan koleksi super car (94 unit)," katanya ketika mengumumkan prestasi jualan syarikat itu di sini, hari ini.

Raine berkata, peningkatan dua angka itu hasil kerjasama rapat MBM dengan sembilan rangkaian pengedar Mercedes-Benz di Malaysia, penyediaan platform digital untuk ruang pameran dan tempahan servis (OneWeb) serta khidmat selepas jualan terbaik ditawarkan di 33 ruang pameran di seluruh negara.

"Untuk pengalaman lebih eksklusif, sejumlah RM6 juta dilaburkan pada Februari lalu untuk ruang pameran baru oleh NZ Wheels Klang Autohaus dengan peningkatan rekaan ruang dalaman memenuhi standard Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) global.

"Antara faktor lain menyumbang kepada peningkatan jualan MBM ialah penawaran pembiayaan sewa beli dan insurans oleh Mercedes-Benz Services Malaysia (MBSM) mencatatkan portfolio sejumlah RM2.4 bilion untuk kemudahan pelanggan," katanya.

Selain itu, sebanyak 36,000 unit kenderaan Mercedes-Benz melakukan servis di setiap pengedar sah MBM pada suku pertama tahun ini yang menyaksikan peningkatan 18 peratus untuk bahagian khidmat selepas jualan.

Dalam majlis sama, MBM juga melancarkan jenama baharu, EQ (Electric Intelligence) untuk mobiliti masa hadapan dengan rangkaian model kenderaan yang diasaskan menggunakan tenaga elektrik.

Model kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) Mercedes-Benz C 350 e dan E 350 e dilancarkan semula di bawah jenama EQ yang direka dengan ekosistem untuk memberikan nilai terbaik, kemudahan dan kemewahan kepada pelanggan.

313 dibaca
Berita Harian X