Khamis, 3 Mei 2018 | 1:19pm

49,985 unit kenderaan dijual pada Mac

KUALA LUMPUR: Sebanyak 49,985 unit kenderaan dijual pada Mac, meningkat 23.2 peratus atau 9,045 unit berbanding bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataan, berkata jumlah jualan positif yang dicatatkan Mac disokong langkah syarikat pengeluar yang mempercepatkan penyerahan kenderaan kepada pelanggan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018.

"Tempoh bekerja lebih panjang pada Mac juga mendorong jualan lebih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, jumlah jualan yang dicatatkan pada Mac lebih rendah tujuh peratus atau 3,733 unit berbanding yang diraih pada bulan sama tahun lalu.

"Jumlah jualan pada April dijangka kekal pada paras yang dicatatkan pada Mac disebabkan pengguna mengambil langkah tunggu dan lihat berikutan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Daripada jumlah jualan yang dicatatkan pada Mac, kenderaan penumpang menyumbang 44,489 unit, manakala komersial 5,496 unit.

Dari segi pengeluaran pula, industri menghasilkan 49,796 unit kenderaan pada Mac, di mana 46,152 unit adalah kenderaan penumpang, manakala 3,644 unit (komersial).

Jumlah pengeluaran pada Mac adalah lebih tinggi berbanding 49,356 unit pada Mac 2017.

153 dibaca
Berita Harian X