Ahad, 6 Mei 2018 | 7:00am
REKAAN mantap, kukuh bergaya.

Transformasi unik BMW X2

BMW Group Malaysia memperkenalkan kenderaan BMW X2 yang pertama, jentera terbaru dalam portfolio pengeluar kenderaan premium itu bagi segmen Coupe Aktiviti Sukan (SAC).

BMW X2 dicipta khas untuk mentransformasikan segmen kenderaan kompak premium dengan semua model terbaharu BMW yang sporty, dinamik dan mempunyai reka bentuk urban.

Ia juga akan mewujudkan impresi yang tersendiri bagi kelas kenderaan berkenaan, juga terhadap rangkaian model BMW X.

Jentera kompak premium SAC menjanjikan pengalaman pemanduan yang tiada tandingan menerusi keseimbangan pemanduan dinamik yang berciri sport.

BMW X2 diperkenalkan melalui varian BMW X2 sDrive20i M Sport di mana reka bentuknya yang garang akan kelihatan jelas terserlah dalam apa jua keadaan.

Kenderaan premium ini mewujudkan impresi tersendiri berikutan reka bentuk dalamannya serta lenggok badan kenderaan berkenaan ketika ia memecut, di samping ketinggian coupe ini yang renek dan keteguhan yang dimiliki oleh model BMW X.

Secara keseluruhan, reka bentuk BMW X2 memberikannya ekspresi yang dinamik. Kesingkatan badan kenderaan ini juga diunjurkan oleh bumbung coupe serta grafik tingkap yang langsing.

Jentera SAC ini mempunyai prestasi yang cukup memberangsangkan hasil daripada enjin TwinPower Turbo, teknologi rangkaian kuasa yang canggih.


BMW X2 sDrive20i M Sport memberikan penampilan lebih berbeza dan sporty. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ciri menarik

Gril kidney adalah komponen yang paling sinonim dengan BMW. Pada BMW X2, reka bentuk luaran gril terbabit dijadikan lebih lebar pada bahagian bawah berbanding bahagian atas.

BMW X2 adalah variasi BMW moden yang pertama untuk menampilkan reka bentuk berkenaan, lantas memberikannya penampilan yang lebih berbeza dan sporty.

Reka bentuk lampu hadapan BMW X2 juga memperkukuhkan keterampilannya yang sporty. Suluhan lampu yang terdapat di bahagian dalam adalah lebih tajam berbanding lampu yang dipasang di bahagian luar, mewujudkan pemfokusan dan kelebihan dinamik.

Pakej BMW M Aerodynamics juga disertakan dalam SAC ini dengan trim tayar dan salutan pewarna pelindung pada permukaan kesemua pintu kereta.

Selain daripada spoiler belakang, BMW X2 juga dibina menggunakan BMW M Sport Suspension yang direndahkan sebanyak -10mm untuk memastikan pemanduan yang selesa.

Cetusan jentera 192hp

Jentera Sports Activity Coupe ini dikuasakan oleh enjin petrol dua liter, BMW TwinPower Turbo 4-silinder yang menggabungkan twin-scroll turbocaj dengan Valvetronic, dua VANOS dan High Precision Injection.

Kenderaan ini dapat mencapai kelajuan maksimum sehingga 227 kilometer sejam (km/j).

Secara keseluruhan, sistem ini menjana 192 kuasa kuda (hp) dan tork sebanyak 280Nm.

BMW X2 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Jentera SAC ini juga turut disertakan dengan transmisi 7-kelajuan dwi-klac Steptronic Sport.

Maklum balas pemanduan kereta ini juga boleh disesuaikan dengan hanya menekan butang suis yang terletak di Driving Experience Control yang akan membolehkan pemandu memilih mod seperti COMFORT, peningkatan-kecekapan ECO PRO, dan SPORT.

Ia juga dilengkapi dengan Performance Control yang membolehkan pengawalan enjin dan intervensi brek ketika membelok.


BMW X2 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Warna baharu

BMW X2 didatangkan dengan warna yang baharu seperti 'Galvanic Gold Metallic', 'Misano Blue Metallic' dan 'Sunset Orange Metallic', manakala ruangan dalaman jentera ini yang serba hitam dipadankan dengan sulaman kelabu.

Sports Activity Coupe ini juga boleh didapati dalam warna Black Sapphire Metallic dengan ruangan dalaman berwarna Magma Red yang dikontraskan dengan sulaman berwarna kelabu.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dengan jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun oleh BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) ialah RM320,800.

Info:
BMW X2 sDrive20i M Sport

  • Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dengan jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun oleh BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) ialah RM320,800
  • Enjin petrol dua liter
  • BMW TwinPower Turbo 4-silinder yang menggabungkan twin-scroll turbocaj dengan Valvetronic
  • Dua VANOS dan High Precision Injection
  • Kelajuan maksimum sehingga 227 km/j
  • 192 hp dan tork 280Nm
  • 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat
  • Mod pemanduan COMFORT, ECO PRO dan SPORT
299 dibaca
Berita Harian X