Khamis, 10 Mei 2018 | 7:40am
ANTARA model cruiser keluaran Jepun paling 'cool'. - Foto Syarafiq Abd Samad

Rebel 500 ringkas, padu

SUATU ketika dulu, apabila terfikir motosikal cruiser, sering terbayang motosikal yang berat dan sukar dikendalikan, khususnya di jalan sesak seperti di pusat bandar.

Susulan itu, motosikal sedemikian dirasakan hanya sesuai untuk penunggang yang berpengalaman.

Situasi sedemikian berubah apabila Honda mula memperkenalkan model cruiser siri Shadow yang ringan dan mudah dikendalikan pada 1983. Ia diteruskan dengan pelancaran Rebel 500 pada tahun lalu.

Berpeluang menunggang uji Honda Rebel 500 sumbangan Boon Siew Honda, baru-baru ini, BH Auto dapat merumuskan model ini adalah antara cruiser paling ringan dalam pasaran, mudah dikendalikan dan menyeronokkan.

Selain penampilan dianggap antara model cruiser keluaran Jepun yang paling 'cool' , Rebel 500 juga ditawarkan pada harga menarik iaitu RM31,798 (termasuk GST).


HONDA Rebel 500. - Foto Syarafiq Abd Samad

Ala bobber

Disasarkan kepada penunggang generasi baharu, reka bentuk cruiser ala 'bobber' yang asas dan ringkas itu menawarkan ruang kepada pemiliknya untuk mengubah suai berdasarkan cita rasa masing-masing kerana Rebel 500 adalah model mewakili gaya hidup penunggangnya.

Ketinggian tempat duduknya pula adalah sekitar 60 cm, memberi keselesaan kepada penunggang kecil, mahupun wanita dengan ketinggian 155 cm dan ke atas.

Pengalaman penulis yang menunggang kira-kira dua jam sekitar Kuala Lumpur juga tidak meletihkan, kerana kedudukan penunggang atau ergonomi yang menegak pada Rebel 500 memberi kelegaan dan pastinya, ia adalah model sesuai untuk berulang-alik ke tempat kerja serta untuk tunggangan santai pada hujung minggu.

Tunggangan santai

Dikuasakan enjin berkembar selari, Rebel 500 menjana tork pada bahagian bawah yang kuat dan penghantaran kuasa yang lancar. Meskipun kedudukan enjinnya agak rapat, kira-kira 2 sentimeter (cm) dengan paha, namun ternyata ia tidak panas, susulan udara panas dialirkan tanpa mengenai kaki.

Enjin 471cc 8-valve, dua silinder penyejukan cecair pada Rebel 500 adalah hampir menyamai saudaranya iaitu CBR500R. Tenaga puncaknya sebesar 35,2kW pada 8.500rpm dengan tork maksimum 45,8Nm pada 5.500 rpm.


HONDA Rebel 500. - Foto Syarafiq Abd Samad

HONDA Rebel 500. - Foto Syarafiq Abd Samad

Dari segi prestasinya, meskipun Rebel 500 adalah model yang lebih menjurus kepada gaya hidup dengan tunggangan santai, namun pecutan pada tahap 140 - 160 kilometer sejam (kmh) bukanlah perkara sukar. Pecutan selesanya pula kiranya adalah antara 90-110 kmh.

Jelasnya, kehadiran Rebel 500, tentunya memeriahkan dan memberi lebih pilihan kepada pengguna serta peminat mesin dua roda tanah air, yang mana ketika ini semakin sofistikated cita rasanya.

Spesifikasi:

Jenis enjin: 471cc, DOHC, sejukan cecair

Gerek & lejang: 67.0 mm x 66.8 mm

Nisbah mampatan: 10.7:1

Kuasa: 33.9 kw @ 8,500 rpm

Tork: 44.7 Nm @ 6,000 rpm

Klac: Multiplet basah

Transmisi: 6 kelajuan

Asas roda: 1,488 mm

Ketinggian: 690 mm

Berat: 184.7 kg

Kapasiti tangki: 11.2 liter

562 dibaca
Berita Harian X