Sabtu, 8 Julai 2017 | 11:22am

PASFA ceburi bidang hartanah

KUANTAN: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) akan menceburi bidang hartanah, bermula tahun ini bagi meningkatkan pendapatan kira-kira 70,000 ahlinya.

Pengerusinya, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata PASFA dalam proses melakukan transformasi menambahkan pendapatan melalui pelbagai cabang perniagaan, selain bergantung kepada punca keuntungan tradisinya iaitu hasil ladang kelapa sawit.

"Sebelum ini, kita sudah ada projek ekonomi lain seperti ternakan lembu, memproses nangka, madu kelulut dan kejenteraan ladang.

"PASFA sudah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Highgard Sdn Bhd (Highgard) bagi melaksanakan projek pembangunan bercampur di atas tanah seluas 40.52 hektar milik kami di Mukim Ulu Kuantan, Gambang, di sini," katanya.

Mustaffar Kamal ketika dihubungi berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu adalah kira-kira RM500 juta. 

Katanya, pembangunan bercampur itu membabitkan dua komponen utama iaitu pembinaan 1,040 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Kompleks Pusat Pembangunan Peladang Pahang.

82 dibaca
Berita Harian X