Khamis, 13 Julai 2017 | 8:47pm

Syarat pinjaman perumahan dilonggarkan: REHDA


PRESIDEN REHDA, Datuk Seri FD Iskandar beramah mesra bersama penghuni Rumah Aman pada majlis rumah terbuka Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumah Malaysia (REHDA) di Wisma REHDA. - Foto Asyraf Hamzah

KELANA JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dapat memberi kelonggaran terhadap kriteria pinjaman perumahan.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata ia berikutan pembelian hartanah dianggap sebagai komoditi yang boleh mencatat peningkatan nilai di masa hadapan.

Katanya, berbanding pinjaman yang diberikan untuk pembelian aset lain yang mengalami kemerosotan nilai, 99.99 peratus aset hartanah yang dibeli akan mengalami peningkatan nilai.

"Kami sedar nilai hutang isi rumah penduduk di negara ini agak tinggi pada masa ini.

"Justeru, kami memohon BNM dapat mempertimbangkan kelonggaran kepada pembeli hartanah yang berpotensi," katanya pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka anjuran REHDA di sini, hari ini.

Seramai lebih 300 penghuni rumah anak yatim, ahli REHDA dan penggiat industri hadir di majlis itu.

FD Iskandar berkata, ketika ini jumlah populasi penduduk di kawasan Greater KL adalah sekitar 7.5 juta.

Katanya, jumlah itu dijangka bertambah menjadi 10 juta menjelang tahun 2020, dengan pergerakan penduduk masuk ke kawasan berkenaan didorong oleh faktor pekerjaan, pendidikan dan beberapa faktor lain.

"Jadi, kita perlu sediakan rumah untuk mereka. Pemaju perumahan mahu membina kediaman mampu milik, tetapi kami perlu menanggung pelbagai kos yang semakin tinggi.

"Umpamanya, harga tanah yang semakin meningkat, kos buruh, kos pembinaan dan levi ke atas bahan besi yang semakin meningkat.

"Jika usaha untuk membina rumah mampu milik mahu dilakukan, semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu memberikan kerjasama sebaiknya," katanya.

Info:

Sehingga kini, ahli REHDA membina lebih empat juta unit kediaman dan menyumbang lebih RM20 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

84 dibaca
Berita Harian X