Jumaat, 4 Ogos 2017 | 12:47pm
SIEW Kiong (empat dari kiri) bersama Mo Bin (tiga dari kanan) dan Md Othman Yusof (dua dari kanan) melihat projek plan pembangunan kilang IBS Forest City, ketika majlis perasmian dan pembukaan kilang IBS Forest City, Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SIEW Kiong (dua dari kanan) bersama Mo Bin (tiga dari kanan) dan Md Othman (kanan) bergambar selepas gimik pelancaran ketika majlis perasmian dan pembukaan kilang IBS Forest City,Gelang Patah. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pangkalan IBS Forest City terbesar di dunia

GELANG PATAH: Pemaju projek mega Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) hari ini melakar sejarah selepas merasmikan Pangkalan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang terbesar di dunia apabila siap kelak.

Majlis pelancaran kilang pertama hari ini, disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunan Johor, Datuk Tee Siew Kiong, Ketua Pegawai Eksekutif Country Garden Holdings, Mo Bin dan Pegawai Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof.

Md Othman berkata, keseluruhan tiga fasa projek pembinaan pangkalan IBS Forest City membabitkan kos berjumlah RM2.6 bilion yang menempatkan enam kilang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

"Menerusi projek ini yang mengguna pakai transformasi teknologi terkini, ia mampu menghasilkan 260,000 kubik meter bahan (IBS) yang boleh digunakan untuk membina satu juta meter persegi keluasan bangunan.

"CGPV melabur kira-kira RM470 juta untuk pembinaan kilang pertama daripada tiga (fasa pertama) membabitkan keluasan 7.28 hektar ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian dan pembukaan kilang IBS Forest City di sini, hari ini.

Sementara itu, Siew Kiong berkata kerajaan negeri mengalu-alu dan menyambut baik projek IBS daripada Forest City yang canggih itu kerana ia bakal mengubah landskap sektor pembinaan Johor dengan pemodenan teknologi pembinaan. 

"Johor memerlukan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi pada masa yang sama kurang kebergantungan terhadap buruh dan meningkatkan pekerja berkemahiran separuh mahir kepada yang tinggi. 

"Kerajaan negeri akan terus mengadakan pelbagai usaha dan inisiatif yang pro-perniagaan dan mesra pelabur bagi memastikan Johor mengekalkan kedudukan nombor satu dalam menarik pelaburan sektor pembuatan di Malaysia," katanya.'

621 dibaca
Berita Harian X