Sabtu, 5 Ogos 2017 | 5:53pm

MyRumah 2017 cetus kesedaran masyarakat

ALOR SETAR: Pameran Hartanah MyRumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Bhd (NSTP) mainkan peranan penting dalam mendidik pengunjung dalam menyusun kewangan masing-masing.

Ketua Pembiayaan Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Awang @ Musran Tawil, berkata dia yang sudah lima kali menyertai pameran terbabit mendapati pelbagai maklumat bermanfaat boleh diperoleh pengunjung, sekali gus menyedarkan keperluan untuk membeli hartanah dan menyusun kewangan.

Katanya, pameran yang tidak memfokuskan penjualan hartanah semata-mata menjadikan ia platform kepada pengunjung membuat keputusan terbaik bagi mendapatkan maklumat dari pakar hartanah dan perbankan yang bersedia berkongsi maklumat.

"Ramai yang melakukan kesilapan dengan mengutamakan kehendak berbanding keperluan seperti membeli kereta mahal berbanding membeli rumah yang boleh dijadikan aset.

"Mereka beranggapan membeli rumah bernilai RM90,000 lebih susah berbanding beli kereta beharga RM90,000. Sedangkan keuntungan lebih berpihak kepada mereka apabila mereka membeli rumah atau hartanah

"Melihat keadaan persekitaran beberapa tahun ini, ramai yang melakukan kesilapan apabila lebih mengutamakan kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi hingga menyebabkan hutang yang mengikat," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah bertajuk Rumahku, Mesin ATMku, sempena pameran yang masuk hari kedua di Aman Central di sini hari ini.

Kedah adalah destinasi ketiga MyRumah 2017 selepas penganjuran di Balai Berita NSTP Bangsar pada Mac lalu dan Komtar JBCC di Johor Bahru pada Mei.  

Antara syarikat pemaju terbabit dalam pameran selama tiga hari iaitu Aman Setia Group, Belleview Group, Bina Darulaman Berhad (BDB), Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramount Properties, Sunsuria Berhad dan SPNB Aspirasi Sdn Bhd.      

Pempamer bukan pemaju pula terdiri daripada Aman Central, Amanah Raya Berhad, Bank Muamalat, Cuckoo, Grab, LG, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Lepro System Berhad.

 

Sementara itu, penganalisis hartanah, Datuk Seri Dr Vincent Tiew yang menyampaikan ceramah bertajuk 'Beli Rumah atau Tunggu Rumah' berkata, masyarakat masih lagi bersikap menunggu rumah untuk dibuat daripada mula membeli rumah dengan alasan kegawatan ekonomi.

Katanya, ramai berpendapat bahawa keadaan ekonomi terutama pada waktu ini agak suram dan gawat hingga menimbulkan persepsi bahawa sekarang bukanlah masa sesuai untuk membeli hartanah.

"Ingin saya jelaskan bahawa pendapat berkenaan adalah silap kerana pada waktu inilah orang ramai perlu mula membeli rumah kerana rumah yang dibeli itu pun hanya akan siap, dua atau tiga tahun lagi.

"Disebabkan kelembapan ekonomi, pemaju hartanah tidak mampu untuk meletakkan harga yang tinggi bagi sesuatu perumahan maka ia meletakkan harga berpatutan tetapi pada 2019, ekonomi dijangka pulih dan harga rumah akan naik," katanya.

ORANG ramai hadir melawat gerai pameran di Pameran Hartanah Myrumah 2017 anjuran The New Straits Times Press Bhd (NSTP) di Aman Central, Alor Setar, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X