Isnin, 28 Ogos 2017 | 9:57pm
DATUK Chang Khim Wah.- Foto Hafiz Sohaimi

EcoWorld yakin sasaran RM4b tercapai

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) akan melancarkan tiga lagi projek baharu di Ijok, Pulau Pinang dan Semenyih pada suku keempatnya sebagai pecutan akhir mencapai sasaran jualan RM4 bilion tahun ini.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Chang Khim Wah, berkata beliau yakin sasaran jualan itu dapat dicapai walaupun prestasi jualan bagi tujuh bulan pertama sehingga 31 Mei lalu adalah sebanyak RM1.705 bilion.

Katanya, selain tiga projek baharu yang akan dilancarkan itu, sasaran tahun ini akan turut disokong jualan kukuh daripada projek sedia adanya serta pelancaran projek kecil di tapak perbandaran bercampurnya kini.

"Tiga projek yang akan kami lancarkan dalam tempoh sebulan dua ini adalah di Eco Business Park V di Lembah Klang, Eco Horizon di Pulau Pinang dan Eco Forest Semenyih.

"Ketiga-tiga projek ini berada di tiga pasaran berbeza dan tidak akan bertembung antara satu sama lain untuk memberikan sumbangan kepada pendapatan kami, selain kedudukan produk, harga dan sasaran pasarannya yang tersendiri," katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau sebelum itu meraikan kejayaan menyiapkan menara kediaman pertama Eco Sky dikenali sebagai Aurora yang setinggi 39 tingkat.

Turut berlangsung kempen #AnakAnakMalaysia dianjurkan kumpulan itu yang menyaksikan Bendera Jalur Gemilang sepanjang 55-meter digantung di menara Aurora sebagai simbolik sambutan Kemerdekaan ke-60 Malaysia.

Selain Aurora menara kedua Basalta turut berjaya paras tertingginya 39 tingkat manakala menara ketiga dan keempat Clarita yang dilancarkan Ogos 2014, akan mencapai paras tertingginya 41 tingkat pada 2018.

Info: Eco Sky

Nilai RM974 juta Projek pertama EcoWorld di Lembah Klang Dilancarkan Disember 2013.

220 dibaca
Berita Harian X