Jumaat, 10 November 2017 | 7:28pm

Sentimen pengguna kembali pulih

KUALA LUMPUR: Sentimen pengguna kembali pulih sejak pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015 menyaksikan jualan runcit meningkat 11.5 peratus pada suku kedua 2017, berbanding suku sama tahun lalu, kata syarikat hartanah dan perkhidmatan pengurusan, JLL Property Services (M) Sdn Bhd.

Pengarah Bersekutu, Veena Loh, berkata sentimen itu dijangka dapat dikekalkan dengan pengendali ruang niaga memperuntukkan lebih 50 peratus ruang boleh disewa di pusat beli-belah baharu untuk hiburan serta makan dan minuman bagi menarik lebih ramai pengunjung.

"Ini dijangka dapat merancakkan jumlah pengunjung berumur 35 tahun ke bawah, yang terdiri daripada separuh penduduk Malaysia," katanya kepada pemberita pada taklimat Tinjauan Ekonomi dan Hartanah Malaysia di sini, hari ini.

JLL Property mengkhusus dalam hartanah utama di Kuala Lumpur.

Loh berkata, penawaran daripada pembinaan menara mega Merdeka PNB 118, bangunan tertinggi kelima di dunia dan The Exchange 106 di Tun Razak Exchange sedang dalam pembinaan akan mempromosikan spesifikasi bangunan tinggi dan meningkatkan penawaran berkualiti di kawasan utama di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya dengan pengaruh dalam e-dagang yang semakin meningkat, peniaga kedai fizikal akan menawarkan lebih banyak kemudahan membeli-belah dalam talian seperti menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai dan portal membeli-belah dalam talian.

Mengenai harta kediaman di kawasan utama di Kuala Lumpur, beliau berkata kadar sewa dijangka ditekan oleh peningkatan mobiliti disebabkan adanya pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan sambungan Transit Aliran Ringan (LRT).

"Sewa akan meningkat lebih perlahan dengan penurunan permintaan sewa kerana orang ramai mungkin menimbangkan tinggal di luar lokasi utama kerana ada laluan pengangkutan baharu," katanya.

Beliau berkata, dengan siapnya lebih banyak projek MRT dan penawaran tanah yang terhad akan menyebabkan peningkatan pembinaan di luar lokasi utama di Kuala Lumpur.

Bagi ruang pejabat utama, beliau berkata, kawasan Kuala Lumpur akan terus melebihi permintaan, trend yang berterusan sejak 2008, kecuali tahun 2013. BERNAMA

221 dibaca
Berita Harian X