Khamis, 23 November 2017 | 7:10pm
DATUK Seri Johari Abdul Ghani bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (dua kiri), Ketua Maybank Islamic, Zainal Abidin Jamal (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique (kiri) dan Ketua Perbankan Global Maybank, Datuk Muzaffar Hisham (kanan) melancarkan Produk HouzKey- Skim sewa beli hartanah perbankan pertama di Malaysia di Menara Maybank, Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pembekuan bina hartanah mewah tak jejas pasaran

KUALA LUMPUR: Pembekuan pembinaan kondominium dan premis komersial bernilai RM1 juta ke atas tidak akan merencatkan pasaran hartanah tempatan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, berlaku lebihan bekalan ketara dalam segmen hartanah berkenaan dan kerajaan perlu masuk campur bagi mengimbangi pasaran daripada menjadi semakin parah.

"Hakikatnya, institusi kewangan berat memberi pembiayaan kepada projek mewah dan hartanah komersial kerana mereka tahu wujud lebihan bekalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan HouzKEY, skim inovatif sewa beli hartanah (RTO) pertama negara di sini, hari ini.

Johari berkata, setiap negara memiliki dasar ekonomi tersendiri, begitu juga Malaysia.

"Setiap negara ada dasar ekonominya yang unik. Dalam kes kita, angka ini (unit tidak terjual) semakin besar dan kita hanya masuk campur sedikit.

"Anda tidak boleh bandingkan negara kita dengan negara lain kerana setiap negara ada keunikan masing-masing. Bagaimanapun, ia bersifat sementara," katanya.

Johari berkata, apabila keadaan pasaran kembali normal dan paras unit tidak terjual turun ke paras munasabah, kerajaan akan menarik balik pembekuan itu.

Bank Negara menerusi rencana bertajuk Ketidakseimbangan Dalam Pasaran Hartanah sebelum ini berkata, pada suku pertama 2017, jumlah hartanah kediaman tidak terjual berjumlah 130,690 unit, tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ia hampir menyamai dua kali purata dalam sejarah yang pernah tercatat sebanyak 72,239 unit setahun antara 2004 hingga 2016.

Kira-kira 83 peratus jumlah unit tidak terjual itu berada dalam kategori harga melebihi RM250,000, 61 peratus jumlah tidak terjual terdiri daripada bangunan tinggi dengan 89 peratus daripadanya melebihi RM250,000.

Johor mempunyai bahagian unit kediaman tidak terjual terbesar, diikuti Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).

367 dibaca
Berita Harian X