Khamis, 7 Disember 2017 | 1:51pm
Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd (Gamuda), Datuk Lin Yun Ling. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Gamuda sasar jualan hartanah RM3.5 bilion

SHAH ALAM: Gamuda Bhd (Gamuda) menyasarkan jualan hartanah RM3.5 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Julai 2018, berbanding RM2.4 bilion yang diraih pada 2017.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lin Yun Ling, berkata unit hartanah syarikat dijangka mencatatkan prestasi lebih baik tahun depan berikutan pelancaran beberapa perbandaran baharu.

Ia, katanya, termasuk Kundang Estates, kawasan kediaman butik seluas 36 hektar dan Gamuda Gardens, perbandaran bersepadu 327 hektar di utara Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sumbangan semasa daripada projek dalam dan luar negara adalah 50:50, namun projek luar negara memberikan sumbangan baik kepada jualan hartanah kumpulan.

"Buat masa ini, projek luar negara kami mencatat prestasi agak baik. Dua pertiga keuntungan daripada segmen hartanah disumbangkan projek luar negara kumpulan di Singapura, Hanoi, Ho Chi Minh dan Melbourne," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, hari ini.

Mengenai perniagaan pembinaan, Yun Ling berkata kumpulan menjangka mengekalkan saiz kontrak tahunan di antara RM6 bilion dan RM8 bilion, tahun depan.

Bagaimanapun, katanya, ia menjangka berdepan tempoh yang semakin mencabar pada tahun akan datang kerana melihat kos sub kontrak meningkat disebabkan pertambahan projek pembinaan.

"Kami menjangkakan harga sub kontrak akan berubah dua tahun akan datang apabila projek baharu lain bermula.

"Apabila terdapat banyak projek bermula, subkontraktor cenderung untuk menaikkan harga masing-masing dan kami sedang memantaunya dari semasa ke semasa. Ia sesuatu yang perlu kami tangani dengan berhati-hati," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, saiz kontrak dalam tangan syarikat Gamuda mencecah RM8 bilion, yang akan dilaksanakan dalam tiga tahun akan datang.

151 dibaca
Berita Harian X