Khamis, 7 Disember 2017 | 3:38pm
RESIDENSI Solaris Parq.

Residensi Solaris Parq laris

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menyasar untuk menjual semua unit projek pembangunan terbaharunya, Residensi Solaris Parq di Mont Kiara, tahun depan.

Ketua Operasi, Datuk Roslan Ibrahim, berkata sehingga hujung bulan lalu, pihaknya sudah menjual kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan unit yang ditawarkan.

Katanya, sejak dilancarkan beberapa bulan lalu, projek berkenaan menerima maklum balas yang amat memberangsangkan.

"Seramai 25 peratus daripada pembeli projek Residensi Solaris Parq ialah pelanggan setia kami dan selebihnya pelanggan baharu yang mahu mengubah gaya hidup.

"Sasaran dalaman awal yang kami tetapkan untuk mencapai 80 peratus pembelian pada tahun depan dan kami berbangga kerana dapat melepasi sasaran berkenaan lebih awal.

"Ini satu perkembangan yang baik kerana pasaran hartanah kini masih perlahan. Bagaimanapun, apabila kami menawarkan produk yang baik dengan harga yang sesuai serta di lokasi yang strategik, ia tetap mendapat perhatian pembeli," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan unit rumah contoh di sini, hari ini.

Residensi Solaris Parq memiliki keluasan 1.45 hektar membabitkan pembinaan dua blok kediaman merangkumi 288 unit apartmen servis bagi setiap menara.

Unit kediaman itu menawarkan beberapa jenis rekaan dengan keluasan binaan bermula daripada 721 hingga 2,469 kaki persegi.

Harga jualan bermula daripada RM873,800 hingga RM2.97 juta.

Sementara itu, Roslan berkata, UEM Sunrise akan melancarkan enam lagi projek pembangunan baharu pada tahun hadapan.

"Bagaimanapun, perincian mengenai semua projek berkenaan akan diumumkan secara berperingkat-peringkat," katanya.

102 dibaca
Berita Harian X