Selasa, 12 Disember 2017 | 5:21pm

Amanah Raya ambil alih Menara Vista

KUALA LUMPUR: Amanah Raya Bhd (Amanah Raya), menerusi anak syarikat milik penuhnya, AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd (AKRM), berkata nilai portfolio hartanahnya akan meningkat kepada kepada RM1.55 bilion susulan cadangan pengambilalihan Menara Vista, The Intermark di Kuala Lumpur itu.

Cadangan pengambilalihan melalui CIMB Islamic Trustee Bhd sebagai wakil kepada AKRM berkenaan membabitkan pertimbangan bayaran berjumlah RM455 juta serta akan dipenuhi sepenuhnya dengan wang tunai.

Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Adenan Md Yusof berkata, ia selari dengan sasaran pihaknya meningkatkan 50 peratus nilai portfolio hartanahnya pada 2018 berbanding RM1.04 bilion ketika ini.

Beliau berkata, pengambilalihan Menara Vista, bangunan pejabat 63 tingkat itu bertepatan dengan kehendak syarikat selain lokasi hartanah itu yang berada di tengah Kuala Lumpur dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Katanya, bangunan pejabat Gred A dengan menerima status MSC itu mempunyai keluasan tanah 221,984 kaki persegi.

"Pengambilalihan ini salah satu perspektif pelaburan kami, menjadikan Menara Vista ini hartanah ke-16 milik kami.

"Nilai pengambilalihan hartanah itu juga di bawah harga pasaran sekitar RM523 juta dan kami percaya nilai hartanah ini akan meningkat sekali gus menyumbang kepada pendapatan Amanah Raya.

"Malah sejak kami mengumumkan cadangan pengambilalihan ini dua bulan yang lalu, peningkatan penyewaan juga meningkat kepada 77 peratus berbanding 74 peratus.

"Lokasi Menara Vista di Jalan Tun Razak bakal menjadi tumpuan kerana kedudukan strategiknya berdekatan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), Tun Razak Exchange (TRX) selain bakal dilengkapi stesen MRT," katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) AmanahRaya-REIT di sini, hari ini.

Adenan berkata, EGM yang diadakan sempena pengambilalihan itu juga mendapat sokongan 99 peratus pemegang saham yang yakin hartanah terbaharu Amanah Raya ini bakal meningkatkan nilai portfolionya.

Ketika ini katanya, AmanahRaya-REIT mempunyai 15 hartanah, membabitkan kompleks pejabat, hotel, institut pengajian tinggi, bangunan industri dan pusat beli belah yang terletak di Kedah, Subang Jaya, Damansara Heights, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

"Kepelbagaian aset hartanah ini akan memberi pelabur pendedahan kepada kepelbagaian geografi dan portfolio sektor yang pelbagai. Ia akan mengurangkan kesan kesulitan tertentu dalam mana-mana satu sektor atau lokasi," katanya.

538 dibaca
Berita Harian X