Selasa, 12 Disember 2017 | 6:56pm
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib. - Foto Sairien Nafis

UEM Sunrise sasar GDV lebih RM700j

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menyasarkan projek dengan anggaran awal Nilai Pembangunan Kasar (GDV) lebih RM700 juta susulan pengambilalihan tanah seluas 7.78 hektar bernilai RM109.50 juta, di Taman Equine, Seri Kembangan, Selangor.

Pengambilalihan daripada Kemaris Residences Sdn Bhd itu dilakukan melalui anak syarikat milik penuhnya, Sunrise Alliance Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, perintah pembangunan diluluskan bagi Equine Land, yang terdiri daripada 924 unit kediaman.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata hartanah itu disasarkan bagi pembeli pasaran pertengahan.

"Elemen jualan utama projek itu adalah lokasi dan aksesnya. AEON Taman Equine, Alice Smith International School dan dua pasar raya besar terletak dalam lingkungan tiga kilometer," katanya.

Jajaran MRT2 akan datang turut menghubungkan Taman Equine ke kawasan komersial utama.

Sunrise Alliance dan Kemaris Residences menandatangani perjanjian jual beli, hari ini di pejabat UEM Sunrise di Solaris Dutamas, di sini. - BERNAMA

388 dibaca
Berita Harian X