Rabu, 20 Disember 2017 | 6:08pm
PENGARAH Urusan Mah Sing Group Bhd, Tan Sri Leong Hoy Kum.

GDV, jualan belum dibil Mah Sing cecah RM28.3 bilion

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd memiliki baki simpanan tanah berkeluasan 862.4 hektar membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dibilkan dianggar RM28.3 bilion setakat 30 November 2017.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata pemaju hartanah tempatan itu meletak sasaran meningkatkan simpanan tanah di Lembah Klang kepada 75 peratus daripada 66 peratus ketika ini dengan tiga bidang tanah sudah diambil alih Mah Sing masing-masing dua di Lembah Klang dan satu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

"Kami akan terus berdisiplin dalam pengurusan kewangan untuk memastikan imbangan kira-kira dan kecairan yang kukuh, selain melancarkan projek pembangunan baharu serta aktif dalam jualan untuk projek sedia ada.

"Mah Sing akan terus meneruskan usaha membangunkan kediaman berkualiti di lokasi strategik dengan harga yang mampu dimiliki rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hoy Kum berkata, Mah Sing kekal berhati-hati dengan pelancaran baharu projeknya bagi memastikan setiap projek memiliki tarikan tersendiri dengan harga mampu milik di bawah RM500,000.

"Sebagai contoh, projek M Vertica di Cheras menawarkan lebih 40 kemudahan mewah di ruang kemudahan berkeluasan 1.8 hektar, antara pembangunan kediaman terbesar.

"Satu lagi projek di Lembah Klang iaitu M Centura di Sentul iaitu kediaman hak milik kekal yang terletak hanya lima kilometer ke Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC).

"Beberapa projek ini sejajar dengan permintaan pasaran dan objektif meluas kerajaan bagi membolehkan semua rakyat memiliki rumah.

"Disokong oleh imbangan kira-kira kami yang sihat, kami terbuka untuk sebarang usaha sama dan peluang pelaburan yang baik," katanya.

Mengenai unjuran pasaran hartanah tempatan, Hoy Kum berkata, Mah Sing kekal optimistik dengan pasaran tempatan bagi separuh pertama 2018 seiring dengan peningkatan ekonomi negara.

"Permintaan jangka panjang akan terus kukuh untuk pembeli hartanah untuk diduduki atau sebagai pelaburan jangka panjang.

"Bagi tempoh sederhana dan dekat, industri hartanah dijangka kekal memberangsangkan disokong demografi, populasi yang semakin meningkat dan kadar pengangguran yang rendah," katanya.

361 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »