Selasa, 13 Februari 2018 | 5:21pm
BRIAN Iskandar Zulkarim. - Foto Rohanis Shukri

DBhd kembali catat untung selepas tiga tahun berturut-turut rugi

KUALA LUMPUR: Damansara Realty Bhd (DBhd) menjangkakan pertumbuhan perolehan antara 10 hingga 15 peratus tahun ini dipacu oleh segmen pengurusan fasiliti bersepadunya (IFM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Brian Iskandar Zulkarim, berkata segmen itu diyakini mampu mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun ini berdasarkan peningkatan 31 peratus kepada RM221.60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM169.73 juta pada tahun sebelumnya.

"Untuk tahun ini, segmen IFM akan terus memacu pertumbuhan melalui beberapa projek termasuk dua projek mega dengan purata nilai kontrak melebihi RM10 juta sebulan bagi tempoh tiga hingga lima tahun," katanya pada taklimat media DBhd di sini, hari ini.

DBhd kembali mencatatkan keuntungan selepas mengalami kerugian dalam tempoh tiga tahun berturut-turut di mana ia mencatatkan keuntungan bersih RM17.8 juta bagi 2017 berbanding kerugian RM27.8 juta bagi tahun sebelumnya.

Perolehan daripada tiga segmen DBhd iaitu IFM, pembangunan tanah dan hartanah serta perundingan pengurusan projek (PMC) meningkat kepada 36 peratus kepada RM249.4 juta pada 2017 berbanding RM183.2 juta bagi tahun sebelumnya.

Mengulas prospek syarikat pada 2018, beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi dalam setiap segmen dengan fokus terarah kepada segmen IFM.

Menurutnya, bagaimanapun DBhd tetap memberi fokus kepada segmen hartanah kerana ia adalah perniagaan teras kepada syarikat, namun akan lebih berhati-hati dalam membangunkan projek hartanah terbarunya.

"Kami bukan membina hartanah berdasarkan trend namun keperluan bagi mengelakkan masalah lebihan bekalan dan kami melancarkan hartanah berdasarkan situasi pasaran bagi memastikan kami mampu menarik pembeli bagi setiap projek hartanah," katanya.

IFM menyumbang 87 peratus kepada perolehan DBhd pada tahun lalu di mana ia menawarkan perkhidmatan dalam bidang seperti landskap, keselamatan, logistik dan parkir.

Segmen hartanah DBhd menyumbang lapan peratus kepada syarikat manakala, PMC yang menawarkan perkhidmatan perundingan dan perancangan hospital menyumbang lima peratus kepada Kumpulan terbabit.

160 dibaca
Berita Harian X