Khamis, 8 March 2018 | 11:03am

Inap desa semakin jadi pilihan

KUALA LUMPUR: Sejak kebelakangan ini, inap desa tumbuh bagaikan cendawan. Melihat kepada statistik daripada Airbnb, didapati 20,042 senarai inap desa yang aktif dan menjana pendapatan adalah berjumlah RM29 juta secara purata dalam setahun (data dari Airbnb).

Bagaimanapun, masih banyak lagi inap desa yang tidak berdaftar dengan Airbnb tetapi berdaftar dengan platform lain seperti mycribbooking.com; booking.com serta homeaway dan data ini tidak dapat dipastikan berapa banyak jumlahnya.

Ada di antaranya yang mendaftar dengan pelbagai platform lain untuk menambahkan saluran pemasaran mereka dengan harapan ia dapat menambah pendapatan mereka.

Kebanyakan daripada kita sudah membuat kesalahan dari segi penggunaan terma inap desa di Malaysia.

Secara ringkasnya inap desa merujuk kepada jenis penginapan yang mana pengusahanya akan tinggal bersama tetamu.

Kediaman itu ditawarkan bersama dengan pakej aktiviti di kawasan sekitar, termasuk dengan makan dan minum untuk tetamu merasai pengalaman, budaya serta makanan tempatan dan ia berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Terma ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia sudah digazetkan oleh kerajaan dan menjadi satu kesalahan jika menggunakannya tanpa kebenaran.

Jadi untuk penginapan jenis ini dikenali sebagai 'Guesthouse' atau rumah tamu atas nasihat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Berbalik kepada persoalan pertumbuhan inap desa atau rumah tetamu sejak kebelakangan ini di Malaysia. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pertumbuhan bagi kediaman jenis ini seperti;

Aliran tunai negatif

Ini adalah faktor paling utama. Rumah yang sudah terlalu mahal tidak lagi boleh menampung ansuran bank pelabur hartanah.

Sebagai contoh rumah apartmen di Lembah Klang kini berharga tidak kurang dari RM400,000. Ansuran bulanan untuk rumah ini adalah lebih kurang RM2,000 sebulan, tetapi untuk menyewakan rumah apartmen ini dengan harga RM2,000 sebulan adalah mustahil.

Kebanyakan rumah ini disewa secara bulanan dengan harga RM1,200 hingga RM1,400.

Ini menjadikan pelabur hartanah itu berada di dalam aliran tunai negatif sebanyak RM600 - RM800 sebulan.

Ini belum mengambil kira yuran penyelenggaraan setiap bulan lebih kurang RM200 menjadikan aliran tunai pelabur negatif sebanyak RM800 - RM1,000 setiap bulan dan dalam setahun pelabur berkenaan terpaksa membelanjakan sebanyak lebih kurang RM12,000.

Jadi dengan menjadikan rumah itu sebagai inap desa atau rumah tamu, ia dapat mengeluarkan pelabur hartanah daripada situasi aliran tunai negatif.

Kemudahan internet, platform pemasaran meluas

Ini adalah faktor kedua yang merancakkan lagi pertumbuhan inap desa atau rumah tamu.

Mungkin sebelum era internet dan 'Internet untuk Segalanya' (IoT), pemasaran untuk inap desa atau rumah tamu adalah agak sukar kerana hanya boleh dilakukan secara luar talian, kos pemasaran yang agak mahal dan capaian agak terhad.

Bagaimanapun, di era internet ini pemasaran adalah lebih mudah, capaian ke seluruh dunia dan paling menarik ialah adalah percuma.

Antara platform IOT yang banyak digunakan ialah Facebook, Airbnb, Booking.com dan platform tempatan MyCribBooking.com dan juga whatsapp.

Dengan menggunakan teknik pemasaran digital seperti (SEO, SEM dan sebagainya), inap desa atau rumah tamu mudah dijumpai di pelayan Google dan juga Facebook.

Secara mudahnya, kejayaan inap desa adalah bergantung kepada teknik pemasaran digital dan ramai yang akan bersetuju kediaman itu bukan sekadar pelaburan hartanah tetapi juga 'permainan' pemasaran era digital internet.

Permintaan yang meningkat

Trend berubah dan tanpa permintaan perniagaan inap desa tidak akan berkembang.

Kebanyakan memilih kediaman itu disebabkan beberapa faktor seperti harga lebih murah dan mampu menampung bilangan penghuni lebih ramai dalam satu masa.

Trend ini juga kini mengambil tempat di syarikat swasta sebagai antara cara untuk mengurangkan kos operasi mereka.

Jika dilihat di kawasan utama seperti Mid Valley, Bangsar dan KL Sentral, kadar purata penghunian (AOR) untuk penginapan jenis inap desa adalah melebihi 70 peratus (Data dari Airdna). AOR tinggi disebabkan beberapa faktor antaranya pusat perniagaan, pusat pendidikan dan pelancongan.

Justeru, kesimpulannya, inap desa adalah antara cara untuk pelabur hartanah mengubah aliran negatif mereka menjadi positif.

Bagaimanapun, kajian perlu dilakukan sebelum mengubah rumah anda menjadi inap desa untuk mengelakkan daripada sebarang kerugian.

Antara perkara yang perlu dikaji ialah menggunakan sistem (BET), iaitu pusat perniagaan; pendidikan dan pelancongan.

Pastikan hartanah anda sekurang-kurangnya mempunyai dua daripada ciri berkenaan kerana ia mempunyai kaitan kuat dengan AOR.

Selain itu, pastikan berapa harga purata dan bilangan inap desa sedia ada (konsep penawaran dan permintaan) kerana akan memberi impak kepada harga dan AOR.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyCribBooking.com

INFO

1023 dibaca
Berita Harian X