Jumaat, 9 March 2018 | 1:32pm
DATUK Kamalul Arifin Othman. - Foto Ghazali Kori

Rei Seraya Residence projek kediaman mesra warga emas

KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), UEM Group Bhd dan Medical Care Service Inc (MCS) menjalin kerjasama untuk membangunkan Rei Seraya Residence, projek unik dan mewah pertama di Malaysia khusus untuk kehidupan warga emas.

Terletak di Jalan Ampang bersebelahan Hospital Gleneagles di sini, pembangunan yang menawarkan konsep sewa itu turut disertakan dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang direka untuk manfaat golongan berkenaan.

Pengarah Urusan yang juga Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB, Datuk Kamalul Arifin, berkata menjelang 2020, sebanyak 10 peratus penduduk negara ini akan kencapai umur melebihi 60 tahun manakala menjelang 2030, ia meningkat kepada 15 peratus.

"Realiti demografi ini pastinya memberi implikasi ekonomi dan sosial yang mendalam serta kebimbangan terhadap penjagaan kesihatan golongan warga emas.

"Ini memberi peluang kami untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas bertaraf dunia di Kuala Lumpur, setanding dengan perkhidmatan yang terdapat di negara maju," katanya berucap merasmikan Rei Seraya Residence Dicovery Gallery di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris dan Naib Presiden Pengarah Bahagian Pengurusan Luar Negara MCS, Grace Wang.

Rei Seraya direka bentuk oleh arkitek terkemuka Australia yang mempunyai kepakaran dalam kehidupan warga emas dan dikendalikan oleh MCS, penyedia perkhidmatan penjagaan terkemuka di Jepun dengan lebih 15 tahun pengalaman.

Menawarkan perkhidmatan eksklusif untuk komuniti warga emas yang bersara, Rei Seraya adalah penjagaan mewah pertama seumpamanya ditawarkan buat golongan berkenaan dengan dua jenis pilihan perkhidmatan iaitu 'Assisted Living' dan 'Independent Living'.

Assisted Living, berkeluasan 300 kaki persegi didatangkan dengan bilik mandi en suite berkonsepkan kediaman eksklusif, menawarkn penjagaan berskala sederhana hingga tinggi.

Antara perkhidmatan penjagaan yang disediakan adalah demensia, paliatif (perkhidmatan yang menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup) serta harian.

Independent Living pula berkeluasan 900 kaki persegi berkonsepkan pangsapuri mewah dengan dua bilik tidur, sebuah bilik mandi en suite, dapur dan ruang tamu.

Perkhidmatan penjagaan turut tersedia bergantung atas permintaan penghuni.

Sementara itu, Izzaddin berkata, pembukaan Discovery Gallery itu adalah untuk membolehkan pasaran memahami produk dan perkhidmatan yang ditawarkan memandangkan ia adalah konsep baharu dan unik di negara ini.

"Harga bagi setiap unit akan dimaklumkan akhir tahun ini selepas kami selesai menjalankan kaji selidik dan memperhalusi perkhidmatan tambahan yang diperlukan berdasarkan kehendak setempat," katanya.

Projek di atas tanah seluas 0.6 hektar itu dijangka siap pada 2021 dan mula beroperasi pada 2022.

Rei Seraya Residence Discovery Gallery dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Jumaat manakala 10 pagi hingga 5.30 petang pada Sabtu dan Ahad.

Maklumat lanjut boleh layari reiserayaresidence.com.my.

893 dibaca
Berita Harian X