Jumaat, 9 March 2018 | 3:11pm
ABDUL Jalil merasmikan Pameran Hartanah MyRumah di Atrium SACC Mall, Shah Alam. Turut hadir Alfian, Kim Yang Hyun dan Jeannie Leong Lee Eu. - Foto Roslin Mat Tahir
PENGUNJUNG di Pameran Hartanah My Rumah di Atrium SACC Mall, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
MYRUMAH memasuki penganjuran tahun ketiga, tahun ini dan ia diadakan selama tiga hari berakhir Ahad ini. - Foto Roslin Mat Tahir

NSTP kembangkan platform MyRumah

SHAH ALAM: Kumpulan akhbar terbesar Malaysia, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) merancang untuk mengembangkan sektor hartanah sebagai salah satu perniagaan bukan teras menerusi platform penganjuran pameran hartanahnya, MyRumah.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, berkata pada masa ini, pameran MyRumah adalah adalah sebahagian daripada ekosistem hartanah NSTP.

"Kita bukan hanya mengharapkan pendapatan daripada penganjuran pameran ini tetapi pada masa memperoleh hasil daripada produk pengiklanan membabitkan hartanah.

"Ia boleh dibuat sama ada menerusi pengiklanan langsung dan tidak langsung serta pengiklanan digital yang ditawarkan kumpulan kami," katanya selepas merasmikan Pameran Hartanah MyRumah 2018, di SACC Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CJ Wow Shop, Kim Yang Hyun; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Talib; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu dan Pengurus Besar Agensi dan Pengiklanan PKS NSTP, Roche Chew.

Abdul Jalil berkata, menerusi percetakan pula, NSTP juga sudah menawarkan segmen atau sisipan hartanah dalam akhbar iaitu "Hartanah (BH)" dan "Property Times" (NST) selain HM yang turut menyiarkan artikel mengenai segmen berkenaan.

"Oleh itu, saya melihat lebih banyak manfaat daripada sisipan hartanah itu untuk menjadikan ekosistem hartanah kami menjadi lebih besar dan meluas.

"Menerusi produk sedia ada, kami berupaya mempromosikan lebih banyak aktiviti mengenai sektor hartanah yang bukan hanya membabitkan kediaman tetapi juga segmen lain seperti kelengkapan rumah, hiasan dalaman,  teknologi hijau, kitar semula dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat juga ingin menjadikan acara ini sebagai satu platform pilihan untuk perundingan hartanah, yang mana pembeli rumah sedia ada dan bakal pembeli boleh datang untuk mendapatkan nasihat pakar daripada pemaju dan pakar hartanah.  

"Sebagai platform 'semua dalam satu', pengguna akan mendapat pilihan yang lebih baik dan boleh membuat keputusan yang tepat untuk membeli dan memiliki rumah impian mereka sementara pemaju boleh memaparkan produk, perkhidmatan dan tawaran yang berkualiti," katanya. 

MyRumah memasuki penganjuran tahun ketiga, tahun ini dan ia diadakan selama tiga hari berakhir Ahad ini.

Ia sebagai sebahagian daripada inisiatif kumpulan Media Prima Bhd dan menyediakan platform untuk orang ramai terutama pembeli rumah pertama untuk membeli rumah impian mereka dengan harga yang berpatutan.

Selepas Shah Alam, siri penganjuran seterusnya untuk tahun ini ialah Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka.

Seramai empat pemaju hartanah tempatan yang mengambil bahagian terdiri daripada Sunsuria Bhd, Aset Kayamas Sdn Bhd, Magna Prima Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

Manakala bukan pemaju yang turut serta ialah Amanah Raya, Bank Muamalat, Takaful Ikhlas, CJ Wow Shop dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara penceramah dan pakar hartanah terkenal yang akan mengadakan perbincangan sepanjang acara berkenaan adalah Ahyat Ishak, Datuk Nazri Mustafa, Akmal Nazim, Bella Leana, Amin Harith dan Amsyari Syakur dari Pejuang Hartanah.

INFO

  • MyRumah 2018 dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam dan kemasukan adalah percuma.
  • Sejumlah 68 unit hartanah bernilai lebih RM30 juta terjual menerusi MyRumah 2017 dan penganjuran tahun lalu merekodkan kedatangan kira-kira 15,000 pengunjung.
  • Menyasarkan golongan B40 dan M40 serta pembeli rumah pertama.
369 dibaca
Berita Harian X