Rabu, 4 April 2018 | 3:03pm
DATUK Seri FD Iskandar.

Pemaju perlu teliti sebelum bangun hartanah komersial

PETALING JAYA: Satu kajian khusus perlu dijalankan bagi menangani masalah lebihan bekalan hartanah bagi segmen komersial dan pejabat yang dijangka lebih serius pada masa depan.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar, berkata penyelidikan yang dibuat perlu mengambil kira pelbagai aspek dan menyeluruh membabitkan pemaju serta pihak lain yang berkaitan.

"Sebagai sebuah badan yang mewakili pemaju hartanah, REHDA hanya boleh meminta setiap pemaju menjalankan kajian mendalam terlebih dahulu untuk membangunkan sesebuah projek atau pembinaan.

"Namun, kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mereka (ahli) dalam menentukan apakah segmen yang mahu dibina," katanya selepas mengadakan taklimat media mengenai Kaji Selidik Industri Hartanah Malaysia bagi separuh kedua 2017 dan Tinjauan Hartanah 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemaju juga mempunyai komitmen pembiayaan yang perlu dibayar kepada bank dan jika mereka tidak fokus dalam pembinaan segmen itu, ia mungkin akan menimbulkan masalah kepada pemaju.

"Saya bersetuju dengan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana kita berdepan lebihan bekalan yang serius, tetapi rumah kedai dan kedai pejabat masih lagi mendapat permintaan.

"Cuma bangunan pejabat dan pusat beli-belah juga menimbulkan kebimbangan kepada kami (ada lebihan)," katanya.

Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017 oleh BNM baru-baru ini, melaporkan ketidakseimbangan dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah kini berada di tahap membimbangkan berikutan ia boleh menjejaskan kestabilan makro ekonomi dan kewangan.

BNM berkata, risiko dalam segmen berkenaan masih tinggi dengan jangkaan 3.53 juta meter persegi ruang pejabat baharu akan memasuki pasaran dengan 140 kompleks beli-belah baharu dibina di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor menjelang 2021.

Sementara itu, FD Iskandar berkata, bekalan bagi segmen rumah mampu milik belum mencukupi untuk menampung permintaan semakin meningkat.

"Menurut perangkaan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), populasi rakyat Malaysia kini mencecah 33 juta pada 2018 dan jika secara purata seunit rumah didiami oleh empat orang, kita memerlukan sekurang-kurangnya 8.3 juta rumah (rumah mampu milik).

"Namun, berdasarkan situasi sekarang, jumlah rumah mampu milik yang disasarkan dibina tahun ini berjumlah lima juta yang terdiri empat juta dibina oleh pemaju selebihnya kerajaan. Kita masih kekurangan kira-kira tiga juta untuk menampung keperluan segmen itu," katanya.

298 dibaca
Berita Harian X