Rabu, 4 April 2018 | 4:24pm
FD Iskandar pada taklimat media Kaji selidik industri hartanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). - Foto Zunnur Al Shafiq

Bina lebih banyak rumah mampu milik: REHDA

PETALING JAYA: Kerajaan dan pemaju perlu mencari penyelesaian bersama bagi menangani masalah kekurangan rumah mampu milik di bandar raya utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Selain itu, pemaju hartanah juga perlu menumpukan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan berkepadatan tinggi berikutan permintaan yang semakin meningkat di bandar raya utama.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar, berkata kerajaan, pihak berkuasa negeri dan agensi berkaitan perlu mengurangkan caj pembangunan, pengecualian sumbangan modal (utiliti) dan kos penukaran tanah bagi menggalakkan penyediaan rumah mampu milik.

"Salah satu cara untuk mengukuhkan pasaran hartanah kediaman adalah dengan mengurangkan pinjaman bukan perumahan seperti kad kredit, kereta dan peribadi," katanya pada taklimat media mengenai Kaji Selidik Industri Hartanah Malaysia bagi separuh kedua 2017 dan Tinjauan Hartanah 2018, di sini, hari ini.

FD Iskandar berkata, peningkatan hutang isi rumah adalah masalah utama pinjaman rumah berharga RM500,000 dan ke bawah ditolak.

"Ia satu isu sebenar. Bekalan rumah mampu milik tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata, walaupun gaji tidak berkembang, ia memerlukan tahap produktiviti dan daya saing yang tinggi bagi meningkatkannya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah penduduk Malaysia ketika ini adalah kira-kira 33 juta orang dengan purata empat orang tinggal di dalam sebuah rumah.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya lapan juta rumah mampu milik tahun ini. Namun berdasarkan unjuran semasa, projek perumahan mampu milik adalah lima juta unit, terdiri daripada empat juta unit oleh pemaju dan sejuta unit daripada kerajaan," katanya.

221 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »