Khamis, 19 April 2018 | 5:50pm
PENGERUSI Kumpulan BDB, Datuk Paduka Rasli Basir (tengah) bergambar bersama ahli lembaga pengarah pada AGM BDB di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang. -

BDB rancang lebih banyak rumah mampu milik

KUALA LUMPUR:Bina Darulaman Bhd (BDB), syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Kedah bercadang melancarkan 75 peratus daripada produk hartanahnya untuk projek rumah mampu milik berharga RM400,000 dan ke bawah.

Pengerusi Kumpulan BDB, Datuk Paduka Rasli Basir, berkata syarikat juga dijangka memanfaatkan simpanan tanah yang belum dibangunkan bernilai RM344.4 juta bagi memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata, tumpuan utama syarikat ketika ini adalah untuk menyusun strategi bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang dan kemapanan syarikat dalam sektor hartanah untuk terus kekal relevan.

"Pasaran hartanah tetap kekal mencabar dan sentimen pasaran yang suram diunjurkan akan berterusan sepanjang tahun ini.

"Situasi ini menjadikan syarikat untuk kekal bersama strategi dan pelan tindakan bagi memberi tumpuan dalam menghabiskan unit inventori sedia ada serta perkenal produk baharu yang sepadan dengan keperluan pasaran," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan BDB kali ke-23 di sini, hari ini.

Pada 31 Disember 2017, Kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang stabil dengan rizab tunai sebanyak RM119.8 juta dan jumlah aset bernilai RM802 juta serta ekuiti berada pada paras RM515.7 juta berbanding RM537 juta pada 2016.

Mengulas lanjut, Rasli berkata sebagai sebahagian daripada strategi kemampanannya, BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) akan menawarkan kehidupan berkualiti di perbandaran bersepadunya selain pembangunan komersial untuk meningkatkan gaya hidup masyarakat di kawasan terbabit.

Sementara itu, katanya terdapat beberapa projek yang dirancang untuk dilancarkan pada tahun lalu terpaksa ditangguhkan disebabkan oleh sentimen pasaran yang lemah.

"Bagaimanapun, BDB Land terus melancarkan hartanah di Bandar Darulaman, Darulaman Perdana dan Darulaman Utama pada 2017 manakala Kedah Holdings Sdn Bhd melancarkan pembangunan poket di luar Kedah iaitu Kuala Kangsar, Perak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi jaminan untuk memperkukuh kembali prestasi kewangan Kumpulan seperti melengkapkan projek mengikut masa, peruntukan dan kualiti melalui penggunaan teknologi sistem bangunan industri (IBS).

"Kami juga akan meningkatkan strategi jualan dan pemasaran di samping mempromosikan segmen riadah, Fantasia Aqua Park Fasa 1 dan 2, Darulaman Trails and Sanctuary dan Taman Darulaman sebagai aliran perniagaan baru," katanya.

294 dibaca
Berita Harian X