Khamis, 26 April 2018 | 3:26pm
PAMERAN HOMEDEC di Pusat Konvensyen KL. - Foto Rosela Ismail

HOMEDEC sasar jualan RM130 juta

KUALA LUMPUR: Pameran Hiasan Dalaman dan Rekaan Rumah (HOMEDEC) optimis mencapai urus niaga jualan RM130 juta bagi pameran yang masuk kali ke-16 penganjurannya.

Presiden CIS Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim, berkata tahun lalu HOMEDEC merekodkan RM130 juta jualan yang disumbangkan oleh transaksi bagi produk berkaitan dekorasi dapur dan bilik air.  

Katanya, penganjuran kali ini mampu mencapai jumlah sasaran yang sama meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar.  

"Dengan situasi ekonomi pada masa ini, orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja. Jika kami boleh mencapai jualan RM130 juta itu adalah lebih baik.  

"Kali ini kami menjangkakan segmen dapur dan bilik air akan menyumbang 30 peratus kepada transaksi jualan HOMEDEC," katanya pada sidang media di majlis pelancaran HOMEDEC ke-16, di sini, hari ini.  

Lim berkata, tahun ini pihaknya menyasarkan 90,000 pengunjung sepanjang empat hari pameran berlangsung dari 26 hingga 29 April 2018.  

Sebanyak 400 pemamer mengambil bahagian membabitkan 1,100 tapak pameran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).   Lim berkata, HOMEDEC dinantikan oleh orang ramai kerana ia menjadi platform terbaik untuk mencari idea dan ilham dalam mengubah suai kediaman mengikut trend terkini.   

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang pameran dan pengunjung berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan.   Untuk maklumat lanjut boleh melayari homedec.com.my. 

139 dibaca
Berita Harian X