Khamis, 3 Mei 2018 | 3:33pm
PENGARAH Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen. - Foto Salhani Ibrahim

Harga, lokasi, faktor lambakan kediaman tidak terjual

KUALA LUMPUR: Harga yang tidak sepadan, lokasi kurang menarik dan tawaran produk tidak bersesuaian dipercayai menjadi faktor utama lambakan unit kediaman siap dibina tidak terjual di negara ini.

Pengarah Urusan CBRE WTW, Foo Gee Jen, berkata hampir 73.3 peratus atau 36,314 unit daripada keseluruhan 49,542 unit siap dibina pada 2017 berharga di atas paras RM250,000, dengan kebanyakannya tidak mampu dimiliki di beberapa bandar besar.

Foo berkata, separuh daripada jumlah kediaman itu berharga antara RM250,000 hingga RM500,000 dan hampir 23.3 peratus atau 11,543 unit melebihi RM500,000.

"Ketika Bank Negara Malaysia melaporkan purata harga rumah mampu dimiliki berharga RM250,000 dan ke bawah, hartanah kediaman di Kuala Lumpur dan Selangor kekal menjadi tidak mampu dimiliki oleh penduduk di kawasan berkenaan.

"Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah, kediaman di Kuala Lumpur pada paras sangat tidak mampu dimiliki dengan kebanyakan kediaman pertengahan di atas RM490,000 disusuli Selangor pada purata RM300,000 berbanding harga pasaran RM223,704," katanya pada Persidangan Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini, hari ini.

Menurut kaji selidik firma hartanah CBRE WTW, sebanyak 24,738 unit kediaman siap dibina tidak terjual pada tahun lalu dengan 38.4 peratus atau 9,499 unit adalah jenis kondominium atau apartmen.

Mengikut pecahan harga, sebanyak 22.7 peratus kediaman berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta membabitkan nilai RM3.54 bilion mendominasi lambakan pasaran hartanah kediaman.

Foo berkata, berdasarkan purata pertumbuhan populasi pada 2017 iaitu 390,000, negara memerlukan 97,500 unit kediaman setahun bagaimanapun, jumlah kediaman siap dibina pada tahun lalu adalah 94,198 unit.

"Data menunjukkan tiada lambakan atau lebihan penawaran tetapi mengapa masih terdapat lambakan kediaman tidak terjual?"soalnya.

Mengulas lanjut, Foo berkata, kekurangan kemudahan dan infrastruktur serta perhubungan dan akses juga sedikit sebanyak menyebabkan kelembapan dalam penjualan unit kediaman.

"Ini termasuk di Kedah dengan 3,783 unit tidak terjual diikuti Selangor dengan 3,713 unit dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (929 unit)," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penawaran unit studio atau pejabat kecil rumah pejabat (SOHO) yang berkeluasan seperti kotak kasut juga dikenalpasti tidak sesuai untuk kediaman berkeluarga di bandar besar.

"Saiz yang tidak sepatutnya dan tidak ideal untuk didiami bagi tempoh jangka panjang, serta kualiti pembinaan yang rendah menjejaskan kualiti kehidupan secara amnya," katanya.

Justeru, katanya, pemaju digesa mengkaji terlebih dahulu segmen kediaman yang menjadi tumpuan rakyat dengan tidak hanya memikirkan keuntungan sebaliknya menyesuaipadankan harga kediaman dengan kehendak pembeli.

464 dibaca
Berita Harian X