Sabtu, 5 Mei 2018 | 1:16am

Rumah RM300,000 bukan mampu milik

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyifatkan rumah berharga di antara RM300,000 dan RM500,000 tidak boleh dikategorikan sebagai rumah mampu milik bagi isi rumah yang memperoleh pendapatan pertengahan.

BNM berkata, berdasarkan pendekatan Hutang Kos Perumahan, harga maksimum sebuah rumah mampu milik dianggarkan hanya RM282,000, memandangkan pendapatan isi rumah golongan pertengahan pada 2016 adalah sebanyak RM5,228 berdasarkan Kajian Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah, Jabatan Statistik.

"Rumah dalam lingkungan harga antara RM300,000 hingga RM500,000 melebihi kemampuan dimiliki oleh isi rumah yang memperoleh pendapatan sederhana di Malaysia," katanya di laman sesawang Factwatch.my hari ini,

Bank pusat itu memberi tindak balas kepada laporan yang memetik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) sebagai berkata rumah mampu milik berada di antara harga antara RM300,000 dan RM500,000.

"Takrif harga rumah mampu milik yang dipetik dalam artikel itu tidak tepat," katanya.

BNM berkata berdasarkan data suku keempat 2017 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan hanya 39 peratus pelancaran hartanah baharu berharga sehingga RM300,000 dalam tempoh 2016 hingga 2017.

"Pelancaran hartanah baharu itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan sebanyak 50 peratus daripada isi rumah di Malaysia yang berpendapatan pertengahan ke bawah.

"Data juga menunjukkan bahawa isu rumah tidak terjual berharga di bawah RM300,000 adalah yang paling kurang berbanding rumah dengan julat harga lain," katanya.

BNM berkata, data itu juga menunjukkan unit kediaman yang tidak dijual di bawah RM300,000 adalah yang paling rendah bagi jumlah hartanah tidak terjual dalam pembinaan di Malaysia pada 20 peratus, diikuti oleh rumah berharga antara RM300,000 dan RM500,00 (35 peratus) dan hartanah melebihi RM500,000 (45 peratus).

BNM berkata, kewujudan pangkalan data bekalan dan permintaan perumahan bersepadu adalah penting, memandangkan cabaran mengenal pasti titik harga yang betul di lokasi yang sesuai untuk bekalan perumahan baharu.

"Ia adalah untuk memastikan penawaran perumahan baru disesuaikan dengan pendapatan dan profil demografi isi rumah di pelbagai lokasi," katanya.

--BERNAMA

 

3797 dibaca
Berita Harian X