Jumaat, 12 Oktober 2018 | 6:47pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Pengerusi Penganjur MAPEX 2018, Datuk Ng Seing Liong (kiri) dan FD Iskandar (kanan) melawat pameran sempena pelancaran MAPEX 2018 anjuran REHDA, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Jangan kenakan cukai baharu - REHDA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan tidak mengenakan cukai baharu kepada pemaju perumahan di negara ini bagi memastikan kelangsungan industri hartanah di negara ini terus kekal mampan.

Bekas Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor, berkata kerajaan sebaliknya memberikan lebih banyak insentif kepada pemaju, malah kepada pembeli untuk meningkatkan pertumbuhan sektor.

"Kami berharap untuk melihat beberapa pelarasan baharu dibuat bagi memenuhi permintaan pasaran industri hartanah di negara ini.

Kami juga menantikan insentif positif akan diumumkan dalam Bajet 2019 nanti bagi meningkatkan ekonomi pasaran dan sektor hartanah secara khususnya," katanya pada pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengurangan harga rumah selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), FD Iskandar berkata, REHDA masih menjalankan kajian mengenai perkara itu dan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan sebelum pembentangan Bajet 2019, yang dijadualkan 2 November depan.

"Pengurangan harga rumah perlu dilihat secara holistik dan perlu menentukan pengukuran pengurangan yang komprehensif. Ini kerana kita juga perlu melihat aspek caj lain-lain yang dikenakan terhadap pemaju seperti kos pematuhan.

“ Pada masa sama, kerajaan negeri juga sepatutnya memberi kelonggaran kepada kami dan jangan terlalu menekan pemaju semata-mata," katanya.

132 dibaca
Berita Harian X