Jumaat, 11 Ogos 2017 | 9:22pm

Bumi Armada dapat kontrak tambahan RM576j

KUALA LUMPUR: Bumi Armada Bhd, menerusi anak syarikatnya, Bumi Armada Caspian LLC memeterai perjanjian kontrak tambahan bernilai AS$134 juta (RM576 juta) dengan LUKOIL-Nizhnevolzhskneft LLC (LUKOIL).

Kontrak itu membabitkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) tambahan di Russia.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Leon Harland, berkata skop tambahan itu akan membabitkan aset Subsea Construction untuk meletak saluran paip bawah laut dan menjalankan kerja di beberapa bahagian medan Filanovsky dalam sektor Russia di Laut Kaspia.

"Kerja dalam kontrak tambahan dengan LUKOIL itu adalah berkaitan pemasangan kira-kira 20 kilometer saluran paip menggunakan Pemasang Armada dan Pembina Armada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aktiviti penyediaan projek sudah bermula dan kerja-kerja itu dijangka siap pada separuh kedua 2018.

Disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, Bumi Armada menawarkan perkhidmatan dan kemudahan tenaga luar pesisir antarabangsa di lebih 17 negara di lima benua dengan akses lebih 2,000 orang daripada lebih 35 kewarganegaraan. - BERNAMA

861 dibaca
Berita Harian X