Ahad, 13 Ogos 2017 | 6:22pm

Kecairan Maybank pada paras selesa

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) berkata, nisbah pembiayaan atas deposit (LDR), pengukur utama kecairan sesebuah bank, berada pada paras selesa iaitu 94.7 peratus pada akhir Mac 2017 dan bukan 101 peratus seperti dilaporkan sebuah agensi berita kewangan, kelmarin.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata laporan penyelidikan perbankan Malaysia yang dipetik agensi berita itu, tidak memberi gambaran sebenar mengenai pengurusan berhati-hati terhadap aset dan liabiliti Maybank


Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

"Maybank menjalankan perniagaannya pada tahap tertinggi dengan telus dan berhemah dan kita telah mendedahkan dengan jelas dalam laporan pendapatan suku tahunan, tahap LDR dan nisbah perlindungan kecairan (LCR) kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Feisal berkata, bagi operasi Maybank Malaysia, LDR pada Mac adalah 90.6 peratus dan ia kekal stabil sejak tahun lalu daripada 90.2 peratus pada Mac 2016.

"Ia sebenarnya lebih rendah suku ke suku daripada paras 91.3 peratus yang direkodkan pada Disember 2016, yang diperoleh daripada pertumbuhan deposit melebihi pertumbuhan pinjaman," katanya.

Peningkatan deposit juga disokong oleh pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kos rendah.

Kumpulan juga, katanya, secara aktif menumpukan untuk meningkatkan komponen CASA dan jika perlu, meninggalkan segmen kos pendanaan yang lebih tinggi seperti simpanan tetap.

Sementara itu, operasi Maybank Singapura merekodkan LDR sebanyak 89.5 peratus pada Mac 2017, sementara LDR Maybank Indonesia berada pada 88.4 peratus.

"Untuk menyatakan nisbah LDR kami menghampiri 101 peratus adalah salah dan boleh membawa kepada salah faham dalam kalangan pemegang kepentingan kami, termasuk pelanggan, pemegang saham dan pengawal selia kami," katanya.

Beliau berkata, laporan penyelidikan yang menyatakan LDR Maybank pada 99.2 peratus, mengecualikan akaun pelaburan Islam (IA) daripada pengiraan LDR Kumpulan Maybank, sehingga menyebabkan ia melaporkan LDR yang lebih tinggi untuk Maybank.

"Ini adalah salah pengiraan LDR kerana IA harus dimasukkan dalam pengiraan LDR untuk Kumpulan Maybank dan Maybank Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah garis panduan perbankan Malaysia.

"Sekiranya IA dikecualikan daripada pengiraan LDR, maka jumlah pinjaman yang berkaitan juga harus dikecualikan dalam kiraan kerana akaun pelaburan termasuk untuk membiayai pinjaman," katanya.

234 dibaca
Berita Harian X