Isnin, 11 September 2017 | 6:45pm

Segmen pinjaman Affin berkembang 7 peratus

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd menjangkakan segmen pinjamannya berkembang antara enam peratus dan tujuh peratus bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2017, daripada RM44 juta yang dicatatkan sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata sebahagian besar pertumbuhan dijangka disumbang daripada segmen pengguna, diikuti perbadanan serta perusahaan kecil dan sederhana.

"Kami kini lebih meluas berbanding sebelumnya. Kami mencatatkan pertumbuhan sangat stabil di bahagian pengguna, yang merupakan latar belakang bagi Affin tahun ini," katanya kepada media selepas mengumumkan pemenang kempen "O.M.G Returns! Bigger than Ever!", di sini, hari ini.

Kamarul Ariffin berkata, anak syarikat bank itu, Affin Islamic Bank Bhd juga mencatatkan pertumbuhan kukuh terutamanya dalam segmen pengguna.

"Ini sejajar dengan kempen untuk mengembangkan segmen perbankan Islam kami," katanya.

Beliau berkata, bank itu menumpukan kepada program transformasinya, Affinity dan cadangan penyusunan semula yang dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2018.

Di bawah cadangan penyusunan semula itu, Affin Bank akan mengambil alih status penyenaraian Affin Holdings Bhd di pasaran utama Bursa Malaysia.

Penyusunan semula itu juga akan menyaksikan Affin memindahkan anak syarikat milik penuhnya, Affin Hwang Investment Bank Bhd dan Affin Moneybrokers Sdn Bhd kepada Affin Bank Bhd.

Turut dipindahkan, syarikat usaha sama 51 peratus miliknya, AXA Affin Life Insurance Bhd dan syarikat sekutu 37.07 peratus miliknya, AXA Affin General Insurance Bhd.

Kamarul Ariffin berkata, bank itu dijangka dapat mengurangkan paras pinjaman tidak berbayarnya (NPL) kepada antara 1.6 peratus dan 1.7 peratus pada akhir tahun daripada dua peratus ketika ini.

"Kami perlu menyusun semula beberapa akaun. Saya rasa selepas tempoh penyusunan semula, ia akan kembali kepada antara 1.6 peratus dan 1.7 peratus, sama dengan 2016," katanya.

Sementara itu, kempen "O.M.G Returns! Bigger than Ever!" bank itu, yang berlangsung dari Disember 2016 hingga Jun 2017, menyaksikan enam pemenang hadiah utama membawa pulang kereta PROTON Persona dan Myvi.

Selain itu, 16 pemenang tempat kedua meraih hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 dan baucar barangan elektrik bernilai RM2,000.

"Sejak memulakan kempen ini, kami mencatatkan pertumbuhan deposit runcit tahun ke tahun sebanyak RM545 juta atau 17 peratus, bersama dengan 48,732 akaun baharu," katanya. - BERNAMA

108 dibaca
Berita Harian X