Isnin, 11 September 2017 | 8:32pm

Diskaun yuran daftar khidmat rancang harta

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) menawarkan diskaun yuran pendaftaran sebanyak RM100 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan, GST) kepada pelabur.

Ia bagi perkhidmatan perancangan harta berkaitan dana amanahnya, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, mulai hari ini hingga 30 November 2017. Yuran biasa adalah RM180 (tidak termasuk GST)

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Mohammad Hussin, berkata tawaran istimewa selama tiga bulan itu bertujuan menggalakkan pemegang unit melanggan kedua-dua perkhidmatan dan menguruskan harta dalam bentuk unit amanah ASNB milik mereka.

"Perancangan pewarisan harta secara teratur boleh mengelakkan masalah selepas berlakunya kematian pemegang unit, seperti pembekuan aset dan benefisiari gagal mencapai persetujuan mengenai pengagihan atau isu-su lain.

"Benefisiari selalunya mahu mencairkan pelaburan tunai dalam dana amanah ASNB milik pemegang unit yang meninggal dunia untuk membantu mereka, sementara menunggu pengagihan aset lain," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad berkata, Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah menjadikan benefisiari yang telah dinamakan tidak perlu mendapatkan surat wakil kuasa atau probet (sijil pengesahan wasiat)

"Mereka hanya perlu hadir ke cawangan ASNB untuk membuat tuntutan, dan proses tuntutan itu dijangka selesai dalam tempoh 30 hari, sekiranya tidak sebarang kesulitan," katanya.

Borang pendaftaran boleh didapati dari mana-mana 30 cawangan ASNB di seluruh negara atau dimuat turun dari laman web www.asnb.com.my. -- Bernama

230 dibaca
Berita Harian X