Selasa, 12 September 2017 | 4:38pm
DENIS Low Jau Foo.- Foto Mohd Yusni Ariffin

Harga sarung tangan getah dijangka meningkat

PETALING JAYA: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan harga sarung tangan getah akan meningkat dalam tempoh terdekat berikutan pelbagai faktor termasuk Taufan Irma.

Presidennya, Denis Low Jau Foo, berkata taufan terbabit yang melanda di kawasan pedalaman Florida, Amerika Syarikat (AS), melonjakkan harga Butadiene, iaitu bahan penting dalam pengeluaran Nitrile Latex.

"Peningkatan harga Butadiene (sejenis bahan mentah untuk membuat getah sintetik) dijangka menyumbang kepada kenaikan harga Nitrile Latex," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain kenaikan harga Nitrile Latex, harga getah asli turut terjejas disebabkan spekulasi komoditi yang tidak menentu.

"Majlis Getah Asli Antarabangsa (INRC), yang terdiri daripada pengeluar getah asli dunia akan mengadakan mesyuarat tahunannya pada akhir bulan ini.

"Kebiasaannya apabila mesyuarat diadakan, ia akan mendorong kepada kenaikan harga getah disebabkan jangkaan penetapan harga serta spekulasi yang dibuat.

"Namun, sebagai pengeluar, kami inginkan harga getah asli adalah stabil dan pekebun mendapat ganjaran setimpal dengan usaha mereka, selain tidak membuat sebarang spekulasi tidak munasabah," katanya.

Jau Foo berkata, selain kenaikan kos bahan mentah, faktor utama lain yang mempengaruhi harga sarung tangan getah ialah dolar AS yang lemah (dari RM4.49 kepada RM4.21 bagi setiap AS$1).

"Setiap kadar tukaran akan mengurangkan nilai ringgit bagi pengilang, dan ia tidak dapat dielakkan untuk pelarasan semula harga," katanya.

Mengulas mengenai prestasi industri, beliau berkata, permintaan sarung tangan getah bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sangat menggalakkan dengan pendapatan melonjak sekitar 25 peratus kepada RM8.1 bilion daripada RM6 bilion bagi enam bulan sebelumnya.

"Jumlah dagangan juga meningkat dengan ketara sebanyak 15.8 peratus berbanding lapan hingga 10 peratus dalam pertumbuhan biasa.

"Kami menjangkakan pertumbuhan bagi separuh kedua tahun ini lebih baik menerusi pembelian kukuh Eropah dan AS dengan Asia mendahului dari segi penggunaannya," katanya.

293 dibaca
Berita Harian X