Selasa, 12 September 2017 | 10:02pm
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang dipaksa bercuti melambai tangan selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dipercayai bagi memberi keterangan berkaitan isu tunggakan bayaran oleh syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products (DOP) pada 7 Jun lalu. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

FGV: Zakaria perlu tunggu lebih lama

KUALA LUMPUR: Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad yang kini bercuti, perlu menunggu lebih lama berhubung hasil siasatan dalaman membabitkan dirinya.

Pengerusi baharu FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata pihak Lembaga Pengarah masih dalam peringkat penelitian akhir dan seterusnya membuat keputusan.

Bercakap kepada BERNAMA, beliau menjelaskan, Lembaga Pengarah juga perlu memastikan setiap proses berkaitan dilaksanakan secara teratur sebelum mencapai sebarang keputusan muktamad.

Ditanya mengenai kemungkinan Zakaria kembali kepada FGV, Azhar berkata : "Tidak adil untuk saya mengulas perkara itu sekarang."

Beliau juga berharap dapat mengadakan satu sidang media berhubung hasil siasatan dalaman itu serta perkara berkaitan FGV dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, berita pelantikan Azhar sebagai pengerusi, ternyata menyuntik elemen positif terhadap syarikat perladangan tersebut apabila harga saham-sahamnya meningkat.

Azhar yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat perladangan terkemuka, Sime Darby Bhd, juga berkongsi keterujaannya terhadap industri dan berharap dapat meningkatkan semula FGV.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, pelantikan Azhar sebagai pengerusi baharu adalah diputuskan oleh Jawatankuasa Pelantikan dan Saraan syarikat itu yang kemudiannya diputuskan oleh Lembaga Pengarah.

Beliau pernah bertugas sebagai Pengerusi Minyak Sawit Malaysia bagi tempoh 2007-2010.

Selain itu, spekulasi mengenai kemungkinan Zakaria kembali ke pangkuan FGV juga dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga saham syarikat berkenaan.

Pada Jun lalu, Zakaria berserta Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Ahmad Tifli Mohd Talha dan dua pegawai pengurusan kanan FGV, diarah bercuti bagi membolehkan proses siasatan dalaman dakwaan salah laku dijalankan membabitkan urus niaga antara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd dan rakan niaga lama, Safitex Trading LLC yang berpejabat di Afghanistan.

Sementara itu, mengulas kedudukan Pemangku Pengerusi FGV, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, FGV berkata beliau dilantik semula sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Di Bursa Malaysia hari ini, harga saham FGV mencecah paras tinggi RM1.77 sebelum ditutup kepada RM1.74 dengan sejumlah 16.82 juta saham didagangkan, berbanding harga RM1.71, semalam. - BERNAMA

1095 dibaca
Berita Harian X