Khamis, 14 September 2017 | 2:06pm
ABU Sahid Mohamed. - Foto Asyraf Hamzah

Maju Holdings tawar ambil alih PLUS RM36b

KUALA LUMPUR: Maju Holdings Sdn Bhd mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS Malaysia Bhd daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dalam satu temu bual eksklusif bersama New Straits Times (NST) dan BH semalam, berkata tawaran berkenaan adalah amat menarik kerana ia jauh lebih tinggi berbanding nilai wajarnya, sekali gus membuktikan bahawa Maju Holdings amat serius untuk memuktamadkan urus niaga terbabit.

Cadangan nilai yang dikemukakan Maju Holdings, melalui firma penasihat pelaburan bebas antara yang terbesar di dunia, Evercore Group LLC itu, adalah nilai paling maksimum kerana ia memberikan pulangan sekurang-kurangnya 20 peratus kepada pemegang saham sedia ada.

"Ia mewakili segala-galanya yang terbaik untuk negara ini. Jika tawaran yang menawarkan pulangan melebihi 20 peratus dan mereka (pemegang saham sedia ada) tidak mahukannya, maka saya tidak faham apa sebenarnya yang dimahukan lagi.

"Saya tidak pasti jika ada mana-mana pelaburan (sedia ada) mereka yang dapat memberikan pulangan sehingga 20 peratus. Kedua-dua pihak sudah mengeluarkan kenyataan yang mereka sedang menilai tawaran ini. Jika sudah penilaian sudah dibuat namun mengatakan 20 peratus itu masih tidak cukup bagus, beritahu kami apakah harga yang mereka jangkakan.

"Ia amat baik kepada semua pihak, malah kepada negara, pemegang saham sedia ada, termasuk 14 juta pencarum KWSP. Mereka sewajarnya menimbangkan tawaran ini dan menilainya dengan teliti," katanya di sini semalam.

Memperincikan lagi mengenainya, Abu Sahid berkata, secara dasarnya kerajaan dapat menjimatkan RM30 bilion dari segi potensi liabiliti akan datang selain wang tunai berjumlah RM4 bilion kepada pemegang saham sedia ada.

Tawaran itu juga, katanya membabitkan penghapusan hutang kerajaan berjumlah RM900 juta kepada PLUS dalam bentuk pampasan terdahulu kerana tidak menaikkan kadar tol lebuh raya berkenaan.

Malah, beliau menegaskan Maju Holdings juga komited untuk tidak menaikkan kadar tol PLUS sehingga akhir tempoh konsesi semasa yang akan berakhir pada 2038.

"Kami mahu memacu pertumbuhan ekonomi negara kerana Maju Holdings terbabit di dalam sektor hartanah, infrastruktur dan perkhidmatan. Kami sudah banyak melakukan perkara yang luar biasa, antaranya membina terminal bas. Mengapa kami melakukannya? Ia disebabkan kami diminta untuk melakukannya," katanya.

Dalam pada itu, Abu Sahid berkata Maju Holdings memberi jaminan bahawa UEM dan KWSP tidak akan mendapat tawaran setinggi itu lagi daripada mana-mana pihak, malah Evercore juga sentiasa bersedia memberikan justifikasi mengenai angka yang ditawarkan.

Beliau berkata, Maju Holdings mempunyai keupayaan kewangan yang diperlukan untuk memuktamadkan urus niaga berkenaan melalui dana dalaman syarikat dan juga terbitan bon.

"Evercore adalah penasihat kewangan kami, firma itu adalah penyedia pembiayaan khusus antara yang terbesar di dunia. Tahun lalu, firma itu memuktamadkan urus niaga bernilai sehingga AS$293 bilion (RM1.23 trilion) dan ia juga biasa dengan urus niaga berkaitan lebih raya," katanya.

Antara pakej tawaran yang dikemukakan oleh Maju Holdings ialah komitmen untuk memasang lampu di seluruh lebuh raya PLUS dari Bukit Kayu Hitam hingga Tuas bagi merancakkan lagi trafik sepanjang hari.

Ia juga akan memasang sistem pengawasan yang lengkap, pengawal trafik, kamera pemantau dan helikopter bagi mendidik pengguna supaya mematuhi had laju ditetapkan.

Selain itu, Maju Holdings komited untuk melebarkan sebahagian laluan lebuh raya yang sudah mencapai peringkat keempat, iaitu tahap laluan yang memerlukan kelebaran lebih tinggi bagi melancarkan trafik. Ia akan dilaksanakan dengan kosnya sendiri, seperti termaktub di dalam perjanjian konsesi.

Maju Holdings ketika ini mengendalikan Lebuhraya Maju (MEX) yang beroperasi sejak lapan tahun lalu, iaitu sepanjang 26 kilometer menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Lebuhraya MEX dianggap antara lebuh raya yang memiliki sistem penyenggaraannya paling rumit di negara ini dengan sebahagian laluan bertingkat adalah setinggi bangunan enam tingkat, selain daripada jambatan keluli terpanjang di Asia Tenggara.

Urus Niaga

  • Pembelian babit tunai RM4 bilion dan perbelanjaan lain
  • Beri pulangan lebih 20 peratus daripada pelaburan asal pemegang saham sedia ada
  • Tawaran babitkan nilai enterpris keseluruhan RM36 bilion

Prestasi Maju Holdings

  • Pencapaian mantap mengendalikan infrastruktur, khususnya lebuh raya
  • Punyai aset RM6.3 bilion, yang mana RM3 bilion adalah nilai aset semasa Lebuhraya Maju (MEX)
  • Kendali MEX dengan amat kos efektif berbanding lebuh raya bertol lain di Malaysia dan rantau ini. Kos bagi setiap kilometer adalah antara yang terendah di negara ini.
  • MEX adalah lebuh raya protokol dengan reka bentuk canggih yang memerlukan kepakaran untuk diselenggara
  • MEX berada di tempat kedua dari segi kepuasan pengguna di Malaysia
  • Berbanding lebuh raya lain di Malaysia, MEX dipasang lampu di keseluruhan laluannya

Cadangan Nilai Pembelian

  • Bolehkan Maju Group menjana penjimatan kos lebih tinggi dengan meningkatkan kecekapan operasi, dianggarkan RM25.6 bilion
  • Memindahkan RM19 bilion daripada penjimatan kepada kerajaan dengan membekukan kenaikan kadar tol sepanjang tempoh konsesi sedia ada
  • Melabur kira-kira RM3 bilion daripada penjimatan kos untuk meningkatkan pengalaman pengguna
  • Hapuskan beban kerajaan dengan mengurangkan potensi liabiliti berjumlah RM30 bilion dan menghapuskan pampasan sebanyak RM900 juta

Prestasi Evercore

  • Evercore Asia Ltd adalah penasihat kewangan bebas global berpangkalan di Amerika Syarikat (AS)
  • Antara syarikat yang mendapat khidmat nasihat, termasuk Yahoo, Abbott, Du Pont, Facebook dan Estee Lauder
  • Ia mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam lebuh raya bertol dan infrastruktur, sebagai penasihat Astra International dan Marubeni

10277 dibaca
Berita Harian X