Rabu, 4 Oktober 2017 | 3:09pm
PENGARAH Urusan Kumpulan LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San. - Foto Supian Ahmad

BAJET: Beri lebih insentif pembeli rumah pertama

PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah menyarankan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai pendapatan peribadi pada pengumuman Bajet 2018 sebagai usaha untuk meningkatkan kuasa membeli rakyat.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata pendapatan tambahan boleh diguna untuk meringankan beban rakyat apabila membeli rumah.

"Pada masa sama, kami juga mencadangkan penurunan cukai korporat dan peribadi untuk mengurangkan beban perniagaan, terutamanya terhadap pemaju.

"Kami yakin langkah berkenaan akan memberi kelebihan kepada pemaju hartanah untuk melabur dalam perniagaan, yang mana satu usaha yang boleh membawa peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan serta kualiti serta kuantiti projek pembangunan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, pada dasarnya, langkah berkenaan disasarkan untuk membantu menyediakan lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah dan merangsang pertumbuhan industri hartanah serta ekonomi secara keseluruhannya.

Seterusnya, pemaju hartanah itu juga berharap supaya langkah penyejukan dapat dilonggarkan ke atas sektor hartanah.

"Salah satu contoh langkah penyejukan yang patut dikaji semula ialah Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) untuk merangsang aktiviti pasaran hartanah tempatan.

"Kelonggaran terma RPGT mampu menggalakkan rakyat Malaysia supaya melabur atau menaik taraf kediaman mereka dan menyumbang kepada pasaran hartanah lebih aktif," katanya.

Hock San berkata, pada masa sama, kerajaan juga diharap menurunkan nilai ambang minimum daripada RM1 juta kepada RM500,000 bagi warga asing yang ingin membeli rumah di Malaysia.

Selain itu beliau berkata, garis panduan pembiayaan akhir lebih fleksibel dan penambahan insentif oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dapat meningkatkan kuasa beli rumah pertama.

"Pengecualian duti setem juga boleh diperluaskan merangkumi hartanah yang berharga antara RM300,000 dan RM500,000 kerana ia boleh membantu menurunkan kos transaksi hartanah dan menggalakkan rakyat untuk mengambil langkah pertama ke arah pemilikan rumah," katanya.

611 dibaca
Berita Harian X